Monday 15 January 2018

Membina Rumah Tangga Al-Qur'an



Apabila hampir tiba hari majlis akad pernikahan, adakala ia terasa terlalu cepat. Ada ketika juga dirasakan perjalanan masa terlalu lama. Cepat atau lambat, hakikatnya tarikh tidak berubah tapi hati kita yang berubah-ubah. Apabila memikirkan tanggungjawab, perkahwinan ini dirasakan terlalu berat. Namun apabila memikirkan hikmah disebalik sebuah perkahwinan, ia kembali menyemangati jiwa dan perasaan.

Demikian pula persoalan rezeki. Samaada hati kita gusar atau tenang memikirkannya, hakikatnya rezeki tidak berubah dan sudah dicatat serta dalam jaminan Allah. Bahkan sebenarnya kita belum lagi diuji dengan rezeki.

Kita belum lagi melalui saat-saat tiada duit sehingga perlu berlapar. Belum lagi perlu berhutang semata-mata mahu menyara hidup. Belum lagi terpaksa bekerja siang-malam hanya kerana ingin memenuhi keperluan asas dalam keluarga. Termasuklah juga soal anak dsb.

Semuanya belumpun kita rasai, yang ada hanyalah kegusaran hati tentang perkara yang belum pasti kehilangannya, namun perlu diyakini jaminan-Nya.

Ingatilah sebuah hadis, buat mengubati hati yang resah.

:عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمْ: المُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَالمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ، وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ العَفَافَ."
[حَدِيثٌ حَسَنٌ]

"3 golongan yang berhak mendapat pertolongan Allah. Pejuang pada jalan Allah, hamba yang ingin merdeka dan seorang yang berkahwin kerana menjaga kehormatannya."
(HR. Ahmad) 

Ketika mana butir bicara ini daripada Nabi SAW sendiri, pilihlah untuk bersama Saidina Abu Bakar RA yang meyakini Nabi SAW ketika peristiwa Isra' Mi'raj.

Pasti pertolongan itu tiba..Allah pasti menolongi kita.

Diatas Jalan Apa Kita bernikah?

Tidak syak lagi pilihan hati, bahawa seorang wanita solehah adalah pilihan yang tepat. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ
" أَرْبَعٌ منْ أُعْطِيَهُنَّ فَقَدْ أُعْطِيَ خَيْرَ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ : قَلْبٌ شَاكِرٌ ، وَلِسَانٌ ذَاكِرٌ ، وَبَدَنٌ عَلَى الْبَلاءِ صَابِرٌ ، وَزَوْجَةٌ لا تَبْغِيهِ خَوْنًا فِي نَفْسِهِ وَلا مَالِهِ." 
“4 perkara apabila diberikan kepada seseorang, bererti dia memperolehi kebaikan dunia dan akhirat: Hati yang sentiasa bersyukur. Lisan yang sentiasa berzikir, tubuh yang sabar menanggung musibah, dan Isteri yang mampu menjaga diri dan harta suami.” 
(HR. Thabrani, Muslim dll)

Ketika Saiyidina Umar RA bertanya kepada Rasulullah SAW tentang "Apakah harta yang sebaiknya kita miliki?" Jawab Rasulullah SAW:

 "لِيَتَّخِذْ أَحَدُكُمْ قَلْبًا شَاكِرًا وَلِسَانًا ذَاكِرًا وَزَوْجَةً مُؤْمِنَةً تُعِينُ أَحَدَكُمْ عَلَى أَمْرِ الآخِرَةِ." 
"Milikilah olehmu hati yang bersyukur, lisan yang berzikir dan isteri Mukminah yang membantumu dalam urusan akhirat."
(HR. Ibnu Majah: 1856)

Cukuplah.. Hendak apa lagi dalam hidup ini tatkala sudah dikurniakan sebesar nikmat dunia bersama tiket sebagai jaminan kebahagiaan Akhirat. Ikatan seperti inilah sebuah perhubungan yang kekal panjang, jauh dan lama. Kelak nanti ia akan dibawa menghadap Allah SWT. Inilah juga peneman tatkala hari bersoal-jawab di padang Mahsyar, yang menjadi penyambung hujah di saat kata-kata tidak terkeluar kerana takut dan gerunnya berdiri dihadapan Allah..

Sebesar itulah peranannya. Daripada dunia sampailah ke pintu Syurga.

Bersama, mereka membina Syurga tika didunia bagi menempah Syurga Akhirat. Jalan pernikahan mereka bukan jalan diatas jalan memenuhi keperluan biologi semata. Jalan pernikahan mereka tentu sahaja bukan jalan materialistik, kekayaan, kemegahan dan keturunan. Kerana ia adalah laluan orang kafir. Demikian itu sebagaimana firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

"Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka." 
(Surah Muhammad: 12)

Sebaliknya jalan pernikahan mereka adalah jalan dakwah. Ia jalan yang terbentang lurus lagi berbekas tapak kaki para Nabi, para Syuhada' dan juga Solihin. 

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ 
اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalan (ugama)ku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru (kamu) kepada ugama Allah dengan bukti yang nyata. Maha suci Allah, dan bukanlah aku dari golongan musyrik"
(Surah Yusuf: 108)

Ia jelas sekali adalah jalan keberuntungan dunia dan akhirat.

Wallahua'lam
















No comments: