Monday 9 July 2012

Ramadhan, Puasa tanpa Pilihan

Antara rukun didalam Islam, ialah berpuasa pada bulan Ramadhan. Maka apabila tiba bulan Ramadhan, WAJIBlah keatas setiap Muslim yang memenuhi syarat-syaratnya agar berpuasa sebulan Ramadhan, tanpa pilihan.

ALlah SWT berfirman;
Maksudnya:


"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) ALlah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan ALlah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah: 185)

Ramadhan dan Puasa, Keasyikan dalam Rahmat ALlah

Apabila Ramadhan tiba, ia datang bersama segala janji dan rahmat. Rahmat Ramadhan, menjadikan manusia yang berada didalamnya, kurang melakukan kejahatan, jenayah makin berkurang tanpa menafikan wujudnya. 

Bulan puasa itu, bagaikan cuti umum kepada hamba pendosa. Jahatnya terhenti seketika. Rosaknya menjadi baik sementara. Kita bersyukur walaupun hanya sekejap, damai dirasa, tenang dikecap. Namun siapa yang boleh menafikan? Apabila ada yang cuba-cuba membonceng secara haram, mereka dijeling oleh masyarakat sekitar. Ada juga yang ditegur. Para pencuri dan perompak berfikir dua tiga kali untuk meneruskan niat. Gara-gara bulan puasa itu. Gara-gara bauan mulut orang berpuasa yang tersebar.

Ada juga hamba ALlah berniat dan berjanji, meletakkan Ramadhan sebagai suatu titik pemula untuk perubahan. Ada yang mengambil kesempatan Ramadhan dengan kemulian Puasa untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. 

Sesungguhnya Islam menyambut kalian dengan RahmatNya Yang Maha Agung  lagi Maha Penerima Taubat. ALlah SWT terlalu dekat untuk anda berasa jauh dariNya.

Ada juga Muslim yang mengambil kesempatan dalam Bulan Puasa itu untuk menghampirkan diri kepada ALlah. Menambahkan amalan Soleh, menjauhkan amalan buruk. Memperbaiki diri dan menaikkan darjat disisi Tuhan.Hanya ALlah SWT yang berhak menilai segala perbuatan serta memberikan ganjaran kepada hambaNya.

Itu belum dirungkai kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan, ekonomi dan lain-lain lagi.

Inilah keagungan dan kehebatan Sebulan Puasa Ramadhan.!

Islam, Aqidah dan Perlaksanaan Tanpa Pilihan

Sememangnya Islam adalah suatu kaedah penyelesaian tanpa pilihan. ALlah telah mengiktiraf bahawa hanyalah Islam sebagai agama yang diredhaiNya tanpa lain-lain penambahan. 

Hebatnya Ramadhan kerana rahmat Islam. Islam yang memuliakan Ramadhan itu. Ramadhan yang rohnya daripada Islam, dengan itu ia menjadi mulia. Demikian juga Sembahyang yang dianjurkan oleh Islam. Hari-demi hari kehebatan, kelebihan serta hikmahnya dirungkai oleh manusia. Siapa sangka sembahyang yang hanya beberapa rakaat itu, punyai begitu banyak fadhilat dan kelebihannya yang ketahuan, mahupun diluar tahu.

Mungkin ada yang berkata bahawa lebihan-kelebihan itu datang secara tidak sengaja. Maka kita mengatakan, memang tanpa sengaja. Kerana sembahyang itu datang daripada ALlah. Suatu perkara tidak pernah terfikir oleh manusia akan kehebatannya. Adapun perkara yang sengaja itu, adalah perbuatan manusia yang membuat suatu perkara hanya apabila arif kelebihannya. Sesungguhnya ada yang berkata;

: "Kenapa awak pergi?"
: "Kerana saya tidak pergilah, saya pergi."

Demikianlah sempurnanya Islam bila ia diamalkan. Kalau secebis Islam yang diamalkan itu, telahpun menunjukkan kemampuannya. Maka kenapa tidak sebahagian yang lain menyempurna dan melengkapkan tujuan Islam?

Berkata para cendiakawan Islam bahawa, walau seharum mana pun minyak wangi yang paling wangi, kalau tidak dibukakan penutupnya, bauan tersebut tetap tidak dapat dihidu keharumannya.

Demikianlah Islam yang bersifat seperti ubat.Kalau tidak dimakan, manakan ada hasilnya. Bagaimana boleh disembuhkan penyakit. Hari ini kita hanya dapat membicarakan kehebatan Islam melalui seminar, ceramah, tulisan-tulisan. Namun, untuk melaksanakannya kita perlukan usaha yang lebih gigih dan pengorbanan yang lebih banyak. Maksud saya. lebih banyak pengorbanan yang diperlukan daripada hanya berbahas dan berwacana. Sebagaimana sirah memberi pengjaran dan petunjuk tentang sunnah perjuangan.

Yang tidak akan menang kalau hanya berdiplomasi, yang tidak akan menang dengan cara yang paling mudah, malah dengan sebaliknya. Perjuangannya panjang tapi perlu diteruskan. Pengorbanannya banyak dan besar.

Kerana Islam itu, Baik tanpa Buruk tapi Wajar

ALlah menunjukkan kesempurnaanNya dengan mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan Islam. Benar, Islam adalah bersifat dengan yang Baik saja tanpa ada buruk. Bersih saja tanpa kotor walaupun dalam keadaan comot, kita masih boleh untuk bersembahyang tapi bukan kotor yang daripada najis. Islam adalah agama yang membawa kedamaian tanpa menafikan peperangan sebagai langkah terakhir namun masih dengan adab dan cara yang penuh aman dan adil. Islam adalah agama yang terbuka untuk sebarang perbahasan tapi bukan semua perkara, bahkan keterbukaanya mestilah dengan adab dan akhlak mulia. Islam tidak mengongkong, tapi menjaga dengan kawalan untuk menyelamat dari bahaya yang tidak diketahui manusia. Begitu juga Islam mengakui manusia itu lemah dan banyak melakukan dosa, maka disana ALlah SWT membuka ruang untuk bertaubat serta peluang untuk kembali kepadaNya.

ALlah SWT hanya memberikan yang terbaik. Maka, ALlah SWT memberikan janji-janji yang baik tapi wajar memberikan janji buruk kepada hamba yang degil dan sombong. Namun ALlah Subhanahu WaTa'ala adalah Yang Maha Mengampuni hambaNya jua..

Oleh itu, sesiapa yang menolak Islam, sebenarnya dia telah mencari mudharat. Islam yang bersifat rahmat itu, seolah ada kerusi sederhana panjang, muat untuk dua orang. Maka Islam datang menyapa dengan menghulurkan tangan persahabatan. Tapi kerana manusia itu sombong, maka dia tidak mengendahkannya, sambil mengesot sedikit. Sekali lagi Islam menghulurkan tangan, maka sekali lagi manusia tidak mengendah dan mengesot. Sehingga akhirnya manusia itu antara dua, sama ada terjatuh dari kerusi sambil memarahi, atau memarahi, menengking dan mengancam lantas berpindah ketempat lain.

Sesungguhnya semua perkara ini dibahas panjang oleh mereka yang berilmu. Maka amat kerdil sekali untuk saya menulis tentang Islam, bimbang hebat bertukar lemah. 

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya ALlah itu tidak mencabut ilmu pengetahuan dengan sekaligus pencabutan dari para manusia, tetapi ALlah mencabut roh para alim-ulama, sehingga tidak ditinggalkannya lagi seorang alimpun - di dunia ini, maka orang-orang banyak akan mengangkat para pemimpin - atau kepala-kepala pemerintahan - yang bodoh-bodoh. Mereka para pemimpin dan kepala - itu ditanya, lalu memberikan keterangan fatwa dengan tanpa menggunakan dasar ilmu pengetahuan. Maka akhirnya mereka itu semuanya sesat dan pula menyesatkan - orang lain." 
(Muttafaq 'alaih)

Floating Mosque
Digitalmukminphotography
WaLlahua'lam