Thursday 12 October 2017

Cita-cita Saya, Insya Allah



Kata seorang teman,
Bercita-cita lah, tiada siapa boleh menghalang kita. Kerana ia adalah hak setiap orang.

Satu kali, seorang sahabat memberitahu saya,
"Demo rasa, buku-buku perubatan yang tersusun bawah meja dirumah kawe tu, buku sapa?"

"Mestilah buku abe demo. Sebab rasanya dia sorang jah, doktor dalam keluarga demo." Jawab saya.

"Tak. Sebenarnya tu buku ayah kawe. Dia dulu bersungguh nak jadi doktor. Lepas 2 kali ambik peperiksaan perubatan,  tapi tak lulus juga. Baru dia berhenti."

Ustaz Lan pernah berbisik kepada saya,
"Cita-cita ustaz, nak buka pondok di Chuchuh Puteri (nama tempat) ni."

Itulah sebahagian kecil kisah cita-cita mereka yang dekat dengan saya. Yang mungkin boleh kita ambil pengajaran daripada mereka.

Bercakap soal cita-cita, saya sebenarnya malu nak beritahu sesiapa. Ialah, jauh panggang dari api. Hari ini masih zero, tapi punya cita-cita terbang ke awan. Tapi begitulah rupa cita-cita. Ia mestilah besar dan tinggi. Kalau biasa-biasa saja, tidak dipanggil cita.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menceritakan, memberitahu dan bersembang mengenai cita-cita saya dengan rakan-rakan. Terutama yang sekarang mengajar bersama. Ia kerana saya mengambil contoh daripada kaedah kita bernazar. Salah satunya adalah, nazar mesti diberitahu kepada seseorang. Supaya dia boleh menjadi pentazkir kepada kita untuk menunaikan hak nazar itu.

Harapan saya supaya mereka boleh memberi semangat untuk saya terus berusaha keras mengejar impian ini. Insya Allah.

Cita-cita saya adalah,
As-Syahid Dr. Muhammad Mukhlis Bin Suhaimi Al-Hafiz

As-Syahid
Menjadi seorang yang mati dalam perjuangan adalah cita-cita tertinggi saya, sebagaimana ikrar yang sentiasa dilafazkan,

الله غايتنا
Allah sumbu cita-cita kami  
الرسول قدوتنا 
Ar-Rasul tauladan kami
القرآن دستورنا
Al-Qur'an panduan kami
الجهاد سبيلنا 
Jihad kesungguhan cara kami
الموت فى سبيل الله أسمى أمانينا
Mati pada jalan Allah, cita-cita tertinggi kami

Bagaimanapun keadaan hidup saya, kaya atau miskin, muda atau tua, sibuk atau lapang, saya mesti berusaha supaya istiqamah dalam perjuangan. Sebagai tanda kesungguhan cita-cita ini, maka setiap denyut nadi, hela nafas, masa, gerak-kerja, percakapan, perbuatan, harta, isteri dan anak-anak semuanya mesti bermatlamatkan dakwah.

Sehingga akhirnya saya juga dipilih oleh Allah SWT untuk mati dalam perjuangan ini. Amin, Ya Rabb. Niat untuk Syahid mesti ada walaupun akhirnya kita mati diatas pembaringan. Kerana dengan niat sahaja, kita sudah mendapat gelaran sang Syahid oleh penduduk langit. Boleh baca posting saya sebelum ini. Sini

Menjadi Ahli Akademik
Kedua, cita-cita saya adalah membantu jemaah iaitu PAS sebagai ahli akademik. Bagi melipat-gandakan sumbangan kepada PAS, saya perlulah meningkatkan potensi diri saya. Dan saya memilih penjuru ini untuk menguatkan PAS. Boleh baca posting saya sebelum ini, Sini.

Bahkan kenapa saya memilih untuk mendapatkan pencapaian tertinggi dalam akademik adalah, demi membuktikan ketinggian ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kerana keyakinan saya, semakin banyak yang kita tahu, fikiran semakin terbuka, jalan semakin jelas dan penghujung setiap perkara yang jelas adalah Allah SWT. Persoalan kenapa kita sentiasa melakukan maksiat dan masih lagi berlengah-lengah dalam memenuhi tanggungjawab kita adalah kerana tiada kejelasan.

Tanda-tanda kebesaran Allah tidak jelas dihadapan kita, Janji-janji Allah seolah terlalu asing, keyakinan kita sangat rapuh, semuanya adalah disebabkan mata, hati kita ditutupi dengan kabus kejahilan, sehinggalah kita menghilangkannya dengan ilmu.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ 
“Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para Ulama, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” 
(Surah Fatir: 28)

Kesungguhan mengejar cita-cita ini saya harapkan dapat mendidik masyarakat untuk turut sama bersungguh dalam menuntut ilmu. Saya juga berharap dapat mendidik anak-anak saya mencintai ilmu dan membudayakannya didalam keluarga kelak. Saya inginkan supaya kami semua mempunyai semangat untuk belajar sampai akhir hayat.

Inilah perkara yang sering saya bincangkan dengan rakan-rakan guru di sekolah. Daripada asalnya perbualan hanya berputar sekitar rezeki, duit sahaja. Saya cuba ajak berbincang dan membina cita yang lebih mulia, iaitu menuntut ilmu. Kerana mengaji bukan milik pelajar sekolah rendah atau menengah. Bukan juga milik pelajar universiti. Bahkan milik semua yang ingin mendekatkan diri kepada Allah dengan menghilangkan kejahilan dalam diri.

Saya meletakkan sasaran umur untuk memperolehi Doktor Falsafah pada umur 35 tahun, iaitu 10 tahun akan datang. Insya Allah.

Al-Hafiz
Saya bersyukur kepada Allah kerana cita-cita ini sudah berhasil. Maka demi membuktikan kesyukuran ini juga, saya mesti sentiasa bekerja keras untuk memastikan saya tidak lupa ayat Al-Qur'an. Proses menghafal bukanlah habis apabila kita selesai tasmik kesemua ayat-ayat Al-Qur'an. Namun berterusan sehinggalah ke akhir hayat.

Saya terfikir kaedah mengulang hafalan Al-Qur'an. Setakat pengalaman yang ada, antara punca kita berputus-asa mengulang adalah kerana kesempitan waktu yang sememangnya tidak lagi lapang sebagaimana ketika belajar dahulu. Kita mengejar jumlah mengulang yang banyak sedangkan waktu yang ada terhad, akhirnya tidak berjaya istiqamah.

Saya teringat semasa di Mesir, ada sahabat beritahu saya selepas beberapa kali berbincang mengenai cara mengulang samada untuk peribadi ataupun kepada persatuan waktu itu. Katanya, kami hanya berbincang, tapi tidak pernah berjaya pun untuk dilaksanakan. Lebih baik tak payah bincang.

Saya bagitahu kepadanya, pertama kena sabar untuk buat sesuatu. Kedua, sebenarnya boleh melakukan perbincangan pun adalah satu kejayaan. Bayangkan jika topik mengulang Qur'an sudah tidak lagi ingin disentuh, agaknya bagaimana pula nasib mengulang itu? Sudah barang tentu lagi tidak menjadi. Apabila berlaku perbincangan, sekurangnya masih ada kesedaran untuk mengulang.

Hari ini, kebanyakkan kita membeli sesuatu yang punya harga yang tinggi dengan membuat pinjaman. Bayarannya pula secara ansuran. Ada 9 tahun ataupun tempoh lebih lama iaitu 30 tahun.

Bagaimana pula kalau kita mengulang Qur'an dalam tempoh begitu? Sebagai contoh dalam tempoh 30 tahun.

Maknanya kita perlu mengulang 1 juz 1 tahun 
Bersamaan 1 1/2 muka surat 1 bulan 
atau 5 baris 1 minggu

Dalam tempoh 30 tahun kita akan habis 30 juzu', Insya Allah. 

Antara masalah kita,  kerana terlalu mengejar kuantiti mengulang. Sehingga kita berputus-asa terlebih awal sebelum sempat menghabiskan ulangan. Dan apabila saya sebutkan contoh 30 tahun, mungkin kalangan kita merasakan terlalu lama. Nah, terserah kepada masing-masing. Apa yang terpenting adalah meletakkan Sasaran secara detail dan Istiqamah. 

Saya menghafal bermula umur 18 tahun dan khatam pada umur 55 tahun.

Bagaimana Jika Cita-cita Tidak Tercapai?
Adakah kita perlu berasa sedih jika kehendak dan impian ini tidak tercapai? Jawabnya memanglah setiap manusia yang punya cita-cita, bersamanya ada sebab yang kukuh yang menjadi batu-bata cita itu. Namun apakan daya, kita hanya boleh merancang. Allah yang menentukan segalanya. 

Tapi adakah kita rugi jika cita-cita tersebut tidak tercapai? Jawabnya tidak. Kerana setiap sesuatu yang diganti oleh Allah itu, pastinya itu yang terbaik bagi kita.

Kerana itulah tujuan utama saya semadikan cita-cita kecil saya dalam tulisan ini. Harapan saya sungguh besar, apabila setiap kali saya membuka blog ini, ia bukan sahaja berperanan kepada diri saya seperti sebelum ini sebagai pengubat hati, bahkan selepas ini ia menjadi pemangkin untuk saya istiqamah sehingga hajat saya tercapai. 

Juga, sekiranya cita-cita saya tidak tercapai, saya akan pastikan ia tidak akan terkubur begitu sahaja. Bahkan kalau terkubur sekalipun, akan saya gali semula dan tunjukkan tulisan ini kepada anak-anak saya, bahawa saya sudah berusaha semampu yang boleh, namun masih lagi tidak mampu mencapai apa yang dihajati. Biarlah mereka pula yang menyambung cita-cita ini. Insya Allah.

Sebenarnya, dengan menulis cita-cita ini sahaja, saya sudah berpuas-hati dengan ganjaran pahala. Bukankah dengan berniat dan berazam sahaja kita sudah beroleh pahala?

Harta Bukan Keutamaan
Oleh kerana cita-cita saya memerlukan pengorbanan harta, maka mengumpul harta bukanlah keutamaan saya. Bahkan setiap harta yang ada perlu saya habiskan sebagai tukaran kepada gerak-kerja dakwah ataupun ilmu. Saya bahkan tidak berharap kepada kehidupan yang mewah. Sebaliknya hanya mengidamkan kehidupan yang ringkas dan sederhana sahaja. Cukup sekadar tidak perlu meminta-minta daripada manusia bagi memenuhi keperluan ahli keluarga dan melepaskan kewajipan terhadap diri saya. Biarlah semua harta itu diinfakkan ketempat yang lebih baik.

Untuk itu, saya selalu berdoa'
اللهم إنى أسألك تمام الغنى عن الناس
"Ya Allah, aku memohon kepada Mu kecukupan harta 
sehingga tidak perlu meminta-minta daripada manusia."


Rumah impian saya.
Disinilah Madrasah tarbiah, kelas Al-Qur'an..

Peranan Seorang Isteri
Isteri adalah pemangkin kekuatan suami yang sungguh luar biasa. Mampu menjatuhkan seorang lelaki jika dia inginkan. Dan mampu menaikkan seorang lelaki. Semuanya terletak kepada kemahuannya. Insya Allah, akan dibincangkan dalam posting seterusnya.

Bukanlah semata-samata mempergunakan isteri untuk mencapai kehendak. Bahkan sebenarnya besar sungguh harapan saya sekiranya kami dapat berkongsi cita-cita yang sama dan bersama-sama meraihnya.

Mari aminkan cita-cita ini. Saya tinggalkan sebuah lagu untuk halwa kita bersama, 

Nyanyian Azhan Atan: Ku Milik Mu


Wallahua'lam.


No comments: