Sunday 24 September 2017

Berkubang Selut, Tanda Hati Manusia Berhajat


Firman Allah SWT:

.. فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

"Maka setelah kamu berusaha, bertawakkallah kepada Allah, 
Sesungguhnya Allah mencintai Al-Mutawakkilin (Orang-orang yangbertawakkal)"
(Surah Ali-Imran: 15)

Setelah turun ke bendang berkubang tanah dan air selut sehingga habis terpercik sampai ke muka. Baju pula basah dengan peluh, mengalir dari pipi sampai ke tengkuk..kerana lama berada dibawah terik mentari. Nafas mula turun naik dengan cepat, kaki pula mula terasa lenguh. Tapak tangan sudah merah, pedih dan berpeluh..tanda-tanda kelelahan mula kelihatan. Tekak juga kering sampai air liur pun sudah habis.

Demikian syarat bertawakkal itu sendiri adalah usaha sehingga garis penamat. Sampai ketahap mana? Sehingga sudah habis kudrat tulang empat kerat, bila tiada lagi yang tersisa untuk diusahakan kecuali perkara syubhah dan haram, maka bertawakkal lah.

Kenapa Bertawakkal?
        Sebab utama kita bertawakkal adalah demi meraih cinta Allah kepada kita. Sebagaimana dinyatakan dalam ayat diatas, 
"Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal." 
(Surah Ali-Imran: 15)

         Sebab kedua adalah supaya Allah menunaikan hajat kita. Allah adalah pemilik segala kurniaan, Dia Maha Kaya lagi Maha Pemurah. Tiada tempat bergantung dan memperolehi kurniaan selain daripada Nya. Sesiapa yang diberikan rezeki oleh Allah, tiada yang boleh menghalang. Begitu juga siapa yang dihalang rezekinya oleh Allah, tiada siapa boleh memberi rezeki. 

Maka seyogia kita memenuhi syarat yang diletakkan Allah supaya ditunaikan hajat, iaitulah bertawakkal.

Tawakkal juga mengikat kita setelah apa yang diusahakan atau kudarat dan keringat yang dicurahkan, supaya akhirnya menyerahkan hasilnya kepada Allah. Orang bertawakkal dengan rendah hati, tunduk dan khudhuk mengembalikan segala kudrat dan iradat hanyalah kepada Allah. Mereka redha menerima segala ketentuan Allah terhadap hasil usaha mereka. Kerana bagi mereka, manusia meminta dengan Cita, sedang Allah memberi dengan Cinta (Ust Pahrol Mohd Juoi). 

Apa yang ditakdirkan Allah, itulah yang terbaik bagi mereka. Sehingga mereka dikagumi Rasulullah SAW.

Dari Abu Yahya Suhaib bin Sinan RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Sangat ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali bagi orang yang beriman. 
Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya.”
(HR Muslim)

Adapun orang yang berusaha tanpa tawakkal, sebenarnya mereka tersasar jauh dari matlamat dan kejayaan sebenar sekalipun usaha mereka berhasil. Dek kerana berhasil melakukan sesuatu tanpa tawakkal, menyebabkan mereka berasa tidak memerlukan Tuhan. 


Sehingga akhirnya pelangi yang mereka serukan untuk timbul selepas hujan itu, bukan berwarna-warni, tapi pelangi hitam pekat.

Allah Tidak Membebani HambaNya
Allah SWT tidak membebani hambaNya kepada perkara yang tidak mampu dilakukan oleh mereka. Sebab itulah Allah telah memberi balasan terhadap usaha hambaNya bukan semata-mata kepada hasil daripada usaha. Bahkan dengan berniat dan bertekad sahaja Allah sudah berikan pahala, apatah kerja/usaha dan hasil daripada kebaikan.

Dalam hadis qudsi, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,


إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً ، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ

Sesungguhnya Allah mencatat berbagai keburukan dan kebaikan lalu Dia menjelaskannya. Barangsiapa yang bertekad untuk melakukan kebaikan lantas tidak mampu melaksanakannya, maka Allah catatkan baginya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia bertekad lantas dia penuhi dengan melakukannya, maka Allah mencatat baginya 10 kebaikan hingga 700 kali  ganda sampai gandaan yang banyak.” 
(HR. Bukhari no. 6491 dan Muslim no. 130)


Daripada ‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

مَا مِنِ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلاَةٌ بِلَيْلٍ فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا نَوْمٌ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ صَلاَتِهِ وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ
Tidaklah seseorang bertekad untuk bangun melaksanakan solat malam, namun tidurnya mengalahkannya, maka Allah tetap mencatat pahala solat malam untuknya dan tidurnya tadi dianggap sebagai sedekah untuknya.” 
(HR. An Nasai no. 1784)

مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ
Barangsiapa yang berdo’a pada Allah dengan jujur agar mati syahid, maka Allah akan memberinya kedudukan syahid walau kemudian dia mati diatas tempat tidurnya.” 
(HR. Muslim no. 1908)

Dengan rahmat dan rahimNya, manusia tidak dibebani dengan sesuatu yang diluar kemampuannya untuk dilakukan, seperti memastikan usahanya berhasil. Kerana tugas kita hanyalah berusaha, adapun yang menetapkan hasilnya adalah Allah SWT. Sebaliknya dia perlu bermuhasabah dan menilai usahanya sahaja.


Dengannya manusia tidak berasa bersalah yang teramat apabila usahanya tidak berhasil dan dia juga tidak berasa bangga jika usahanya itu membuahkan hasil. Kerana semuanya adalah milik Allah, dan dikembalikan segala pengaduan, syukur, puji dan puja kepada Allah SWT.


اللهم اجعلنا من المتوكلين عليك، والفائزين لديك، واجعلنا يا الله من المُقربين إليك بإحسانك يا غاية الطالبين

"Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang bertawakkal kepada Mu, 
dan orang yang berjaya disisi Mu, dan jadikanlah kami Ya Allah daripada orang-orang
yang dekat kepada Mu dengan belas kasihan Mu.
Wahai (Tuhan sebagai tempat) tujuan orang-orang yang mengharap."

Wallahua'lam

No comments: