Tuesday 26 May 2015

KITAB HATTA YA’LAMA SHABAB : “RASUL IKUTAN KAMI” bhg #2



Adakah kamu tahu bagaimana menjadikan slogan “RasuluLlah SAW Ikutan Kami” sehingga menjadi nyata?

Iaitu dengan mencontohi secara menyeluruh seorang role model yang terdapat pada diri Muhammad SAW, tentunya telah melangkaui kebijaksanaan dan kematangan manusia. Walaupun zaman silih berganti, umat pasti akan mendapati  dalam keperibadian baginda SAW suatu contoh yang sempurna, tauladan yang baik dan menjadi rujukan dari segenap lapisan manusia. 

(Q.S. Al-An’am: 124)



Tauladan Ibadah RasuluLlah SAW

Berkata Mughirah Bin Syu’bah R.A;  “Adalah RasuluLlah SAW sentiasa bangun malam sehingga bengkak kedua belah kakinya. Apabila dikatakan kepada baginda; bukankah Allah telah memaafkan untukmu segala dosa yang terdahulu dan akan datang? ” Baginda menjawab;

“Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur.” 
(Riwayat Bukhari)

Antara perkara menarik tentang ibadah RasuluLlah SAW, adalah bagaimana baginda menghimpunkan ibadahnya yang telah mencapai kemuncak ibadah tanpa meninggalkan urusan dunia.

Baginda a’bid dan pemimpin negara, panglima perang dan manusia yang paling hampir  kepada Allah SWT.

Dicelah-celah masaalah dan kesibukan kepada ummah yang dihadapinya, muncul sifat Nabi SAW sebagai a’bid sepanjang malam dan siang.

Inilah gambaran manusia yang akhlaknya adalah Al-Qur’an!
Lihatlah ayat Qur'an dibawah.

(Q.S. Al-Muzammil: 1-6), (Q.S. Al-Isra’: 79) dan (Q.S. Ad-Dahr: 25 & 26)

Tambahan;

Telah datang beberapa orang sahabat kerumah RasuluLlah SAW dan menemui Aisyah R.A dengan menyatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang telah berusaha beribadah. Salah seorang berkata dia telah berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka. Seterusnya ada yang berkata dia telah sembahyang malam tanpa pernah tidur. Dan yang lainnya berkata dia berkahwin tapi tidak mendatangi isterinya kerana bimbang ibadahnya terjejasnya.

Setelah hal itu diberitahu kepada RasuluLlah SAW, maka baginda bersabda;

“Aku adalah RasuluLlah. Siapakah yang mempunyai ibadah lebih baik daripadaku. Sesungguh aku telah berpuasa dan berbuka. Aku juga sembahyang malam dan aku juga tidur. Aku juga berkahwin dan mendatangi isteriku.”

Inilah antara sifat baginda dalam beribadah adalah tidak melampau dan berlebih-lebihan. Sebaliknya mengimbangi untuk dimanfaatkan dirinya buat umat. Dan supaya dirinya dapat dijadikan contoh supaya senang diikuti.

Tauladan Sifat Zuhud dan Qana'ah(Berpada-pada) RasuluLlah SAW

 Berkata Abdullah Bin Mas’ud: Aku telah masuk mengadap RasuluLlah SAW, baginda telah bangun dari tikar hamparannya, sedang ia telah meninggalkan bekas pada sisi baginda yang mulia. Aku berkata “Wahai RasuluLlah, kalulah aku carikan untukmu sebuah tilam, agar boleh engkau letakkan diatas tikar, supaya ia menjaga badanmu daripadanya.” Maka baginda SAW bersabda:

Apalah aku dengan dunia ini. Tidaklah aku dengan dunia ini melainkan seorng penunggang kuda, yang singgah berteduh di bawah sepohon pokok, kemudian dia berjalan meninggalkannya.”

Bagindalah jua orang yang bersabda;

“ Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad hanya sekadar mencukupi.”

Demikianlah sifat manusia yang akhlaknya adalah Al-Qur’an!
Lihatlah ayat Qur'an dibawah.

(Q.S. Dhuha: 4) dan (Q.S. Toha: 131)

Kalaulah baginda ingin bersedap-sedap dan mencari dunia, nescaya dunia akan datang kepada baginda dalam keadaan tunduk. Akan tetapi baginda mahukan sifat zuhud dan qanaah kepada dirinya beberapa perkara kepada umatnya;

Baginda ingin mengajar dengan sifat zuhudnya ini makna kasih-sayang, pengorbanan dan mengutamakan orang lain.

Sebagai contoh kepada ummah dengan hidup bersederhana dan berpada-pada.

Baginda ingin memehamklan kepada mereka yang mempunyai penyakit hati, golongan munafiq, missionanri dan musuh Islam yang lain bahawa baginda SAW tidak pernah mengumpulkan harta deripada da’wah.

(Q.S. Hud: 29)

Tauladan Sifat Tawaddu’ RasuluLlah SAW

Bagindalah yang memulakan salam apabila bertemu sahabatnya. Baginda akan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang yang bercakap samaada kecil atau besar. Baginda juga orang yang terakhir menarik tangan apabila bersalam. Apabila menghadiri majlis, baginda akan duduk sehingga majlis itu habis. 

Baginda pergi ke pasar sambil memikul sendiri barangannya seraya bersabda “Aku lebih patut membawanya.”

Baginda tidak membezakan kedudukan taraf orang yang bertemunya. Sebaliknya memuliakan mereka sebagaimana sepatutnya.

Inilah gambaran manusia yang akhlaknya adalah Al-Qur’an! ;
Lihatlah ayat Qur'an dibawah.

(Q.S. As-Syura: 25)

Tauladan Sifat Pemaaf RasuluLlah SAW

Sikap pemaaf RasuliLlah yang ditunjukkan baginda samaada ketika memaaf serta berlembut dengan kekasaran Arab, ataupun sikap yang diambil apabila mendapat kemenangan keatas musuhnya.

Antara contoh tentang sikap berlembut Nabi SAW terhadap kekasaran Arab;

i. Imam Bukhari meriwayatkan daripada AbduLlah Bin Mas’ud R.A katanya, “Tatkala hari peperangan Hunain, Nabi SAW telah melebihkan pembahagian harta kepada beberapa orang lagi.

Baginda memberikan Aqra’ Bin Habis R.A seratus ekor unta, demikian juga Uyainah R.A dan beberapa orang lagi . Tiba-tiba seorang lelaki berkata, “ Demi Allah, pembahagian ini tidak adil dan bukannya kerana Allah.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata, “ Aku akan melaporkan kata-katamu kepada RasuluLlah SAW.”

Setelah aku menemui Nabi SAW dan meberitahunya, baginda bersabda, 


“Siapakah lagi yang akan menjadi adil kalau sekiranya Allah dan RasulNya tidak adil? Semoga Allah merahmati Musa A.S, baginda diuji lebih teruk daripada ini dan baginda bersabar.”

ii. Manakala sikap pemaaf dan mengutamakan da’wah lebih dari kepentingan diri yang ditunjukkan ketika berhadapan dengan musuhnya, tatkala peristiwa ‘Fathul Makkah’.

Setelah mengumpulkan penduduk Mekah, baginda bersabda,

“Apakah yang kamu sangka tindakanku terhadap kalian?” 

Mereka menjawab, “(Kami hanya menyangka engkau akan berbuat) kebaikan, wahai saudara kami yang mulia, anak kepada saudara kami yang mulia.”

Lantas baginda bersabda,


“Pergilah kamu, kerana kamu semua dibebaskan.”

Inilah gambaran manusia yang akhlaknya adalah Al-Qur’an!
Lihatlah ayat Qur'an dibawah.

(Q.S. Al-A’raf: 199) dan (Q.S. Al-Hijr: 85)

Wallahua'lam.

No comments: