Friday 13 June 2014

7 Jam Mencari pantai

Pejabat Pas, Parlimen Bachok
Jam 6.51 pagi
Terletak berhadapan Masjid Daerah dan membelakangkan Pantai Irama
Kiri dan kanannya hanya berhias tanah tandus. Sesekali kelihatan sayup-sayup kuning-oren cahaya rumah.

Dari bandar Kaherah, kami menuju ke pinggir pantai!



Kami bertolak pada jam 11.30 malam. Perjalanan pula mengambil masa paling kurang 6 jam. Saya seperti biasa, kalau perjalanan jauh begini, saya akan cuba untuk tidak melelapkan mata.

Sayangkan pemandangan kerana bukan selalu keluar mengembara.

Matrouh ialah pantai. Semenjak datang ke Mesir dalam 7-8 bulan ni, terasa benar kerinduan kepada pepasir putih, deraian ombak, merah saga langit tatkala terbit mentari.

Ah, benar-benar sayup mengingatinya.. Pantai Irama, Bachok, Kelantan.
Pantai Irama, Bachok (22/04/2012)


Anda tahu apa itu pantai? Tidak. Anda tidak tahu sehingga saya bawa anda melihat merah saga langit pada jam 6.45 pagi, apabila mentari mula merengek di celahan awan.

Kalau lagi banyak awan di langit, lagi bersimbah cahaya merahnya!

Itulah, merah saga.

Seminit-dua selepas itu, anda akan melihat cahaya kuning berbalam memancar ke muka, mula menyinari alam.

Rasailah suasana pagi itu. Lihatlah pada bot kecil nelayan yang makin hampir dengan daratan. Pulang setelah berhempas-pulas dengan badai ombak, demi rezeki yang Allah janjikan.

Dari pinggir pantai itu pula, anda akan dapati burung layang-layang. Semakin cerah alam buana, semakin galak mereka terbang.

Ketam pasir yang menghendap dari lubang. Sebuah lubang yang anda tutup, beribu lubang, mereka boleh korek.

Seusai subuh
Dalam pembinaan penghadang ombak

Maka sekali lagi alam mulai terang. Menghapuskan kelam malam dengan cahaya yang menerbitkan semangat dan harapan kepada orang yang mengharap, membuka peluang kedua kepada pendosa yang bertaubat, mengesat air mata semalam dengan cita-cita baru.

Bacalah Surah adh-Dhuha. Tadabbur ayat dan maknanya. Maka anda akan merasai sifat Ar-Rahman Allah A'zza Wa Jalla.

Matahari terbit dari pantai Irama, Bachok. Tenggelam di Pantai Matrouh, Mesir.

Pantai Matrouh, Mesir

No comments: