Thursday 10 April 2014

Bagaimana Kalau Berlari Atas Titi?



Tak tahulah kenapa. Jarum telah menunjukkan jam 1.30 pagi, pukul 4 pagi sudah subuh. Shuruk pula jam 5.30. Tapi mata tetap tidak mahu lelap, biarpun hati sudah mahu tidur. Mungkin mata meraikan otak yang masih berfikir.

Wahai mata, mungkinkah kau takut tidak terbuka lagi selepas ini? Wahai mata, sudikah engkau menjadi saksi dihadapan Allah sebagai pembelaku?

Tapi bukan itu yang saya fikirkan. Hati saya terlalu keras untuk berfikir tentang itu. Otak pun, terlalu serabut dengan benda lain menyebabkan tiada ruang untuk itu.



Saya berfikir masa depan saya di Mesir. Apakah harapan yang ada untuk mencapai cita-cita saya di Mesir ini? Hari-hari yang berlalu tidak menampakkan peningkatan,  bahkan kebankrapan yang melanda.

Cita-cita makin jauh, angan-angan pula makin mesra.

Sisa-sisa Nasihat 

Orang cukup bermurah untuk memberi nasihat kepada saya, ketika mahu berangkat ke Mesir. Satu persatu telah saya keluarkan dari bagasi. Kini, bagasi sudah kosong, tiada lagi bekal.

Saya pula menagih nasihat itu.

Kebanyakan daripada pemberi-pemberi di Mesir pula, tidak berjaya menasihati saya sebaiknya memandangkan hati saya memang keras. Kalau bukan dengan alat yang betul, manakan boleh pecah ruyung hati saya ini.

Kata sahabat saya, juga Pengerusi Ma'ruf Kelab UIAM:

"Masyarakat pada hari ini bukan saja mahukan nasihat, tapi mereka perlukan bimbingan."

Saya pula sebahagian daripada masyarakat itu.

Sungguh, anda menyangka pengalaman dan ilmu telah kukuh, justeru menampung dan menampal pada bahagian luarnya (untuk memperkemaskan). Padahal, teras dari dalam sudah rapuh, berkarat.

Jeritan batin saya meraung, pinta didengari tatkala diberikan kereta untuk dipandu dan mengajari saya perihal kereta dan cara-cara memandu kerana menyangka itulah keperluannya.

Namun, sebenarnya saya sudah hilang semangat untuk bawa kereta itu sendiri.

Semangat itu dipulihkan. Kerana itulah asasnya.

Manakan boleh berlari, kalau atas titi?

Peperiksaan

Peperiksaan sering menjadi batu loncatan. Kalau sebelumnya malas-malas, dengan kehadiran peperiksaan, pasti mengubah tempo ulangkaji. Kalau sebelumnya rajin, peperiksaan menambahkan sebab untuk bertambah rajin.

Sesetengah pelajar pula takut dengan peperiksaan. Mungkin kerana matapelajaran yang agak sukar difahami atau masih banyak belum dihafal sehingga saat peperiksaan pun, masih pening.

Atau ketiadaan nota ringkas untuk ulang-kaji bagi peperiksaan pun, adalah berbahaya.

Namun, ada yang lebih bahaya daripada itu.

Iaitulah, hari peperiksaan sudah hampir tiba, tapi momentum ulangkaji masih lagi sama. Peperiksaan tidak memberikan impak yang sepatutnya.

Apa puncanya?

Saya tidak mendapati sebab lain kecuali kerana hilang semangat, yang berakar daripada hilangnya kemahuan. Hilang kemahuan kerana cara mendapat kemahuan diri sudah jauh. Seperti kata pepatah, "kalau tak sir berdegak, sir melayang."

Dan ia adalah petanda yang tidak baik.

Ia perlu dirawat dengan segera kerana sudah berada pada tahap yang kritikal.

"Kerana Allah, kita harus kuatkan?

Wallahua'lam.





No comments: