Wednesday 12 October 2011

Ghazwatul Fikr

BismiLlah.


Seminggu sudah berakhir imtihan bagi semester tiga. Di tengah kekalutan saat-saat akhir memerah otak untuk imtihan, sempat lagi saya bertegang-urat dengan seorang rakan. 

Rakan saya: Wah, rajinnyo.. Bagus-bagus, moga-moga dapat mumtaz. 

Saya: InsyaALlah. Tapi mumtaz bukan matlamat. 

Rakan saya: Eh, kalau xsey mumtaz, baik tak payah belajar sini.

Saya: Bakpo gitu? Kalau kita niat untuk redha ALlah, mumtaz tu, tetap akan boleh.

Rakan saya: Redha ALlah tu, semua orang tahu dah.

Saya: Tapi bukan semua orang peduli. Jadi, yang perlu diperingatkan adalah redha, bukan mumtaz tu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Sekiranya kamu ingin mencari dunia, maka carilah dengan akhirat. Sekiranya kamu inginkan akhirat, maka carilah dengan akhirat. Kalaupun kamu inginkan keduanya, maka carilah dengan akhirat."

 Mumtaz itu, secara berbetulan akan datang. Sebaliknya, redha ALlah perlukan keikhlasan. Kerana sangat berharga ia.


Ilmu dan Amal, Iman semestinya
Ada orang berkata, "bila nak buat suatu perkara, biar ilmu yang berada didepan." Sekali imbas, betul ayat ni. Dua, tiga kali pun memang betul ayat ni.

Cuma ada sebahagian masyarakat silap kefahaman. Mereka tidak menggunakan sinergi pada perkiraan dua perkara tersebut. Iaitulah IMAN. Ilmu tanpa iman, amal entah kemana.

Sebagai contoh, ada dalam kalangan manusia yang tidak beriman kepada ALlah menganggap ilmu dan akal adalah segalanya. Mereka berTuhankan akal. Justeru itu mereka melangkaui undang-undang yang diperuntukkan ALlah untuk dilaksanakan sebagai hak ALlah SWT. Sangka mereka, undang-undang yang direka-cipta mereka itu dapat menyelesaikan masalah mereka. Namun akhirnya masalah itu bertambah bahaya dan akhirnya menghancurkan diri mereka.

Ada juga dalam kalangan manusia berilmu dengan ilmu yang datang dari Tuhan mereka. Ilmu tersebut sepatutnya menjadikan mereka beriman kepada ALlah, sebaliknya makin menjauhkan mereka dari ALlah SWT. Mereka gagal untuk mensifatkan diri mereka dengan segala sifat penuntut ilmu. Bersifat dengan sifat tawadhuk serta menjauhi sifat ujub dan takabbur adalah antara sifat yang memberkati para penuntut ilmu. Mereka menyangka bahawa mereka telah berjaya dengan ilmu-ilmu mereka. Gagalnya mereka untuk berlajar sebagai ilmuan sebelum menuntut ilmu, akhirnya ilmu itu juga telah menghitam-pekatkan hati mereka daripada melihat hakikat dihadapan mereka.

Pada sudut yang lain, ada penuntut-penuntut ilmu yang beriman kepada ALlah SWT. Mereka itulah orang-orang yang ilmunya menghiasi diri mereka. Justeru, air wajah mereka telah berbicara sebelum mereka berkata. Tampak nur yang diberikan ALlah SWT hasil keikhlasan mereka dalam menuntut ilmu. Sifat tawadhuk telah terzahir tanpa mereka menyatakan merekalah orang yang tawadhuk. Jadilah mereka sebagai kumpulan manusia yang disayangi ALlah SWT, serta jadilah mereka sebagai warisan para anbia'.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Ulama'(orang berilmu) adalah pewaris para nabi."

Mereka diikut oleh manusia. Kerana merekalah orang yang layak memimpin. Kerana IMAN telah lahir dari ilmu, mereka itulah.

Imtihan, Ghazwah dan Itqan
Ramai dalam kalangan rakan-rakan diluar sana bijak mendefinasikan makna imtihan itulah. Antaranya sahabat saya IzzudDin Mohamad. Pada saya, imtihan itu ghazwah, peperangan punya nilai Jihad tanda kesungguhan.
Dalam islam, ada perkataan jihad. Yang lebih merujuk kepada kesungguhan untuk menegakkan Syariat ALlah di muka bumi ini. Kesungguhan sampai kepada tahap sanggup berkorban harta dan jiwa. Di medan jihad, para HizbuLlah tidak pernah kenal erti menyerah dan kalah. Antara dua, menang atau syahid. Maka, erti kecewa tidak pernah timbul dalam kefahaman HizbuLlah.

HizbuLlah tidak akan disoal kenapa mereka tewas. Kerana tewas tiada nilai dalam perjuangan. Tapi akan disoal, apa yang telah mereka lakukan untuk ISLAM.

Dalam imtihan, ada nilai-nilai jihad. Menuntut kesungguhan kita sebelum imtihan itu lagi. Soal mumtaz atau tidak, itu hal yang sudah terkemudian. Yang pertama, adakah anda telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Itulah nilai imtihan pada diri saya. Kerana ALlah tidak tanya kenapa tidak mumtaz, sebaliknya sehingga mana usaha dan kesungguhan kita. Kerana redha ALlah SWT yang kita cari, bukan mumtaz yang mendepani. Kalau untuk mendapat mumtaz semata-mata, maka cara apa sekalipun menjadi halal.

Firman ALlah SWT yang bermaksud:

"...kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada ALlah. Sesungguhnya ALlah SWT mengasihi orang-orang yang bertawakkal."
(Surah Ali Imran: 159)

WaLlahua'lam