Thursday 7 October 2010

Bahagiakan dengan Mengadap Hakikat ISLAM (1)

Firman ALlah Ta'ala yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang berIman! Masuklah kamu kedalam agama Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagi kamu."
(Surah al-Baqarah:208)

Saiyidina Umar pernah mengungkap,
"Sesungguhnya aku dimuliakan dengan ISLAM. Maka, sesiapa yang mencari kemuliaan selain kemuliaan Islam, sesungguhnya dia mencari kemuliaan dengan penghinaan ALlah."

Pasca moden telah memberi tegasan, bahawa manusia hamba material telah bergelojak jiwa mereka, bernafsu kebinatangan serta hati mereka berselaput dengan seribu satu masaalah yang mencengkam diri. Keseronokan mereka adalah keseronokan yang kosong, senyum mereka tanpa kewarasan akal fikiran..

Begitulah kiranya kebanyakkan manusia yang telah menjadi hamba kepada dunia. Akhirnya mereka hilang pedoman hidup. Hidup mereka sia-sia dengan pelbagai perkara yang telah menipu. Terhimpun mereka dalam kalangan orang-orang yang rugi pada hari akhirat nanti.


KEBAHAGIAAN, KETENANGAN dan KEINDAHAN hanya dengan ISLAM.
Islam adalah suatu agama yang setiap incinya adalah untuk memberi kedamaian jiwa kepada manusia. Memandu manusia agar senantiasa berjalan menurut fitrah asal kejadiannya. Harta, pangkat serta keseronokkan adalah suatu inti yang tidak pernah sesuai dengan jiwa manusia.

Ada dalam kalangan manusia mencari jalan kebahagiaan dengan pendidikan, wang ringgit, kemajuan teknologi dan lain-lain. Sangka mereka jalan ini dapat memberikan kedamaian kepada diri mereka. Tapi usaha ini hanya menambah sengsara kepada mereka. Kebahagiaan yang dicari semakin menjauhi, namun ancaman jiwa yang ditemui. Mereka gagal sama-sekali.

Hakikat ini terbukti apabila negara-negara maju yang mengagungkan teknologi, muncul dengan pelbagai jenayah kemanusiaan, serta kemerosotan dalam fitrah sosial manusia yang melampau. Seorang bapa yang membunuh anaknya. Pembunuhan tersebut bukanlah bunuh sebagai natijah, tapi cara serta motif pembunuhan yang jauh menyimpang dari perbuatan manusia. Bahkan lebih jauh daripada BINATANG.

Maka bersaksilah bahawa AL-Qur'an telahpun memberi penyaksian, sesungguhnya JAHATnya manusia melampau lebih daripada binatang, BAIKnya manusia mengatasi darjat para malaikat.


Pakar-pakar sains telah menjalankan pelbagai ujikaji untuk mengatasi masaalah rohani tersebut. Mereka mencari ketenangan dengan mencipta pergerakan seperti meditasi, nada-nada sentimentel dalam usaha untuk menghilangkan stress dan tekanan perasaan. Ini hanyalah ketenteraman jiwa yang bersifat sementara dan lebih menjurus kepada kegagalan mencari formula.

Pada pakar negarawan, mereka mencipta ideologi untuk mengekang masaalah sosial yang menular dalam kalangan rakya. Pelbagai cara, perbincangan, menggubal perlembagaan, mereka bentuk perundangan dilakukan.. Keputusannya tetap sama. Ianya jelas, yang paling baik hanya bersifat sementara manakala yang direka dengan nafsu terus merosak dan menjahamkan. Itulah yang mereka temui selepas pelbagai usaha dilakukan.

Firman ALlah yang bermaksud:

"Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya."
(Surah Al-Mukminun:71)

Natijah daripada keseluruhan hasil usaha itu, memberi isyarat yang jelas qath'ie(kata pemutus) bahawa hanya ISLAM punya cara penyelesaian yang terbaik. Hanya ISLAM yang dapat menjadi pembimbing, pengasuh hati nurani yang dapat mengembalikan sifat insani.

Sebagaimana yang disebut oleh Sayyid Qutb,

 "Manusia terus-menerus mencari, mencipta,mengkaji pelbagai formula untuk menyelesaikan permasaalahan serta persoalan yang timbul. Hasilnya mereka gagal. Kerana setiap ciptaan mereka mengandungi banyak kelemahan dan ketidak-sempurnaan. Kelemahan ini terjadi dalam setiap ciptaan mereka kerana mereka hanyalah manusia yang lemah. Yang lemah hanya mencipta kelemahan bukan kebaikkan bahkan jauh sekali kesempurnaan. Ada dalam kalangan mereka yang mencipta atas dasar nafsu serta keuntungan semata-mata. Maka ini lebih menjuruskan kepada kehancuran. 

Hanya yang sempurna dapat mencipta kesempurnaan. Ciptaan ini tidak akan mengandungi sebarang kelemahan bahkan sempurna yang akan menghasilkan kebaikan dan menyempurnakan sifat manusia. Sungguh, disana tidak pernah wujub sesuatu yang sempurna. Sifat-sifat kesempurnaan ini hanya dimiliki oleh ALlah. Dia bersifat dengan segala sifat yang Suci dari sebarang pengaruh yang lemah dan merosak. Dia telah cipta dan menjadikan ISLAM sebagai cara dan jalan kepada masaalah itu tadi."

Tuhan itu ialah ALlah. Bukan yang selainNya. Tuhan itulah sembahan manusia. Mustahil bagi Tuhan untuk bersifat dengan kecacatan dan kelemahan. Kerana pada Tuhan terhimpun segala keagungan, mustahil pada yang Maha Agung itu untuk punya walau sedikit kecacatan.

Maka, sekiranya mereka yang mencipta sesuatu sedangkan Tuhan telahpun menciptanya, adakah mereka ini tidak percaya kepada sembahan mereka? Apa yang mereka sembah, akal atau Tuhan? Ataupun Tuhan mereka tidak mengajarkan mereka tentang penyelesaian permasaalahan itu? Tuhan apakah itu? Mereka gagal mengenal Tuhan mereka. Jauh sekali untuk mentauhidkan ALlah.

Firman ALlah yang bermaksud:

"Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama ALlah? Padahal kepadaNyalah sekelian makhluk yang ada di langit dan di bumi menyerah diri. Samaada dengan suka ataupu terpaksa, kepadaNyalah mereka akan dikembalikan."
(Surah Al-Imran:83)


Sungguh, Tuhan itu hanya layak bagi ALlah. Tempat merujuk segala permasaalahan hanya kepada ALlah. Itulah...


WaLlahua'lam

3 comments:

Muhammad Izzuddin said...

..insya allah..

amalkan doa ini ye sahabatku..

:..allahuma la sahla illa ma ja'altahu sahla..wa antaj'al hazna iza shikta sahla..

..insya allah..selesai segala kesulitan..insya allah..

muhammad said...

InsyaALlah. syukran din.

Dataran Syuhada' said...

Ya Salam....
Teruskan menulis dik,haibat sungguh..


kata ore kapung ~sharing is caring~

[~khairunnas anfa'uhum linnas~]