Friday 23 July 2010

Betapa CintaNya

BismiLlah.. 

Sesungguhnya orang-orang Islam sungguh mulia tidak terbanding dengan yang lain. Kerana kita menganut suatu agama yang disukai lagi diredhai oleh pencipta alam buana ini. Apa lagi yang dapat memberi kemuliaan kepada kita jika dibandingkan dengan pengiktirafan serta pujian daripada Penguasa seluruh alam ini. PujianNya bermakna pujian seluruh makhlukNya.  
Cuba anda bayangkan apabila seorang yang miskin kedana menerima pujian daripada rajanya diatas kebijaksaannya membuat sesuatu yang disukai oleh raja tersebut. Maka wajiblah juga setiap rakyat negeri itu memuji si miskin tersebut. 

Berebutlah juga para media mengarang tentang dirinya. Begitulah kiranya kemuliaan anda selaku penganut agama yang mulia ini. Seluruh alam memuji diri kita. Namun ingat! Hanya yang mulia sahaja dapat bersama dengan kemuliaan ini. Mereka yang hanya berpakaian yang mahal lagi mulia tidaklah mereka dibenarkan mengadap raja yang mulia seandainya akhlak mereka tidak mulia seperti yang diiktiraf oleh raja tersebut. 

Oleh itu laksanakan titah perintahNya dengan penuh keyakinan bahawa anda kini sedang bersama-sama dalam suatu angkatan yang besar menuju kepada keredhaan yang Maha Agung. Sungguh, anda kerugian apabila terpisah daripada angkatan ini. Ini adalah sebuah perarakan yang pasti hujungnya adalah kebahagiaan yang hakiki. Itulah hakikat kepada kebahagian dan semestinya yang abadi.

Hakikat kepada Jalan Lurus ini.. 
Al-Qur'an serta sunnah RasuluLlah S.A.W telah menyingkap bahawa ironinya Jalan lurus ini adalah BERBATU. Tuhan memberi kebenaran kepada syaitan untuk membisikkan kekufuran kepada manusia. Syaitan itulah sesat, maka sesiapa yang telah dipersetankan olehnya, maka mereka juga telah tersesat dan beralih arah daripada angkatan yang berjalan pada jalan yang lurus. ALlah Ta'ala itu Maha Mulia tanpa perlu kepada belas hamba serta makhlukNya mengiktiraf keMuliaanNya. 

Dia yakni ALlah tidak akan membiarkan hamba yang dikasihiNya dikalahkan oleh musuh di medan perang tanpa sebarang kelengkapan tempur. Zikir adalah perisai, Doa adalah senjata, kebenaran dengan dalil yang hak adalah kekuatan mereka bila berhadapan dengan syaitan. 

Apakah ALlah menzalimi hambanya? 
ALlah membenarkan syaitan untuk membisik kesesatan kepada manusia. Dia juga telah memberikan ilham kepada manusia untuk menghindari bisikan syaitan. Apakah kita masih boleh salahkan ALlah apabila kita terjerut dengan jerangkap syaitan? Tidak sama sekali. Bahkan kita yang harus dipersalahkan kerana tidak berpegang teguh dengan Taujih daripada Tuhan. 

 Inilah kuncinya apabila kita selalu menyalahkan taqdir. Sesungguhnya mendalam cinta ALlah kepada setiap hambaNya. Kadangkala kita berada dalam suatu situasi yang membingitkan rasa keruhan dijiwa, mengasak fikiran malah hampir sahaja merobek Iman tatkala ditimpa ujian yang besar. 

ALlah.. Dia sahaja yang Maha mengetahui diri kita pada saat itu. Fikirlah bahawa.. 
Pertama, ujian itu tidak diberikan melainkan Dia mengetahui kudrat kita untuk membawa bebanan tersebut. Kedua, berpesanlah kepada diri, bahawa ALlah Ta'ala ingin mengangkat darjat kita disisiNya saat ditimpakan ujian itu. Samalah juga seperti majikan ingin naikkan pangkat pekerjanya. Ketiga, cubalah singkap sebaik mungkin hikmah disebalik ujian-ujian yang dahulunya telah berjaya kita tempuhi, benar akhirnya kita bergembira. keempat, kita tidak pernah keseorangan bila berhadapan dengan ujian. Alam dan seisinya pantas mendoa'kan kita. Maka bersabarlah. 

 Akhirnya, rasailah belaian lembut dari Sang Pencipta yang Menyintai kita. Dia senantiasa berada disamping, saat kita berhadapan dengan musibah. Dengarlah sebaik mungkin bait kata-kata cinta yang diungkap kepada kita. 

Ya! hanya kepada kita yang sedang berhadapan dengan ujian. Disanalah tersirat rahsia kemanisan iman sebagaimana yang telah dirasai oleh orang-orang soleh mahupun solehah yang terdahulu

.  

waLlahua'lam.

1 comment:

Faiz said...

syukran atas perkongsian. teruskan menulis.. Insyaallah, ana menyokong.pso