Monday 8 March 2010

Kehangatan Belaian kasihNya




Dengan nama Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani setiap hambanya..

KasihNya, cintaNya tidak pernah pudar walau sedikit keatas hambanya. Namun tidak ramai dalam kalangan hambanya membalas cinta suciNya. Sekiranya kita katakan bahawa kita sayang kepada sahabat kita, sehingga kadang-kadang mengalir air mata mengenangkan mereka. Sahabat ialah insan yang sentiasa bersama dengan kita samaada ketika senang mahupun susah. Kadang kala ketika kita sedang bersedih ditimpa musibah, sahabatlah yang datang dengan pelbagai cara menenangkan kita. Itulah yang membuatkan kita berasa terharu dengannya.

Ataupun kita tersenyum apabila kita sedang mengangkat suatu yang amat berat, kemudian datang sahabat membantu kita tanpa diminta yang kemudiannya kita berterima kasih bebanyak kepadanya. Dikala gembira sahabat menjadi perkongsian.

 Perhatikanlah pula kasih seorang ibu yang senantiasa menjadi tempat untuk kita mengadu, berkongsi seribu satu rasa. Kadang-kadang sahabat lari, tetapi ibu sentiasa disisi. Cubalah ingat sewaktu masa dahulu, apabila si ibu sedang menjahit pakaian kita, setiap kali dimasukkan jarum jahitan pastinya dia berhati-hati dan kadang-kadang jarum tersebut terkena jarinya namun tidak diendahkannya kerana dalam ingatannya hanyalah anak yang sedang dalam jaganya. Siapakah yang menidurkan kita sewaktu malam hari?

Tentulah sang ibu yang akan memeluk kita, membaca bahan bacaan, mengulik kita dengan nyanyiannya.. Siapa pula yang pertama kita lihat pada waktu pagi? Pastinya ibu yang mengejutkan kita, memandikan kita kemudian terus bergegas menyiapkan makanan untuk kita. Sewaktu kita kecil dahulu apabila ditimpa masaalah, maka ibulah yang menjadi tempat untuk kita melepaskan geram. Kita pukul ibu, kita memarahinya, namun ibu tersebut hanya diam sambil mengucapkan kata-kata memujuk kita. Bila gembira kita cari sahabat, tetapi bila sedih kita mula mencari sahabat yang paling setia, itulah ibu kita.

Itulah antara kasih-sayang ibu yang kadang-kadang kita lupa.

 Dapatkah kita bandingkan semua insan yang sayang kepada kita itu dengan Allah Ta'ala?

Dapatkah kita bandingkan jasa-jasa mereka dengan Allah?

Betapa kejam makhluk yang bernama manusia. Ingatkah ketika Allah menciptakan dirimu?

Sekiranya Ibu menjahit pakaian kita sambil ingat kepada anaknya setiap sulaman kerana kasih, bagaimana pula dengan Allah yang bukan sahaja menciptakan pakaian kepada kita tetapi menciptakan kita. Setiap kepingan daging, tulang-belulang disusun dengan rapi dalam proses menciptakan kita. Kemudian bila kita sudah menjadi manusia Dia bukan sahaja menyedikan makanan kepada kita, bahkan dialah yang sentiasa menggerakkan setiap darah yang berada dalam saluran darah kita. Untuk apa itu semua? Dia menidurkan kita, ataupun tidur lewat kerana memastikan keselamatan kita. Tidak, bahkan Dia tidak pernah tidur dan sentiasa memastikan semua anggota badan kita berfungsi dengan baik untuk perjalanan hidup kita. Dia juga tidak pernah lalai perhatianNya daripada sentiasa memerhatikan kita.

Namun apa balasan kita kepadaNya yang tidak pernah meminta untuk untuk dibalas kebaikkanNya. Siapa yang mula-mula menawarkan tempat untuk mengadu apabila kita ditimpa masaalah? Tentulah Allah Ta'ala. Tetapi tidak, tidak bagi kita.. kita lebih suka untuk mengadu kepada sahabat, kepada ibu kita..

Tawaran Tuhan kita tolak mentah-mentah dan dengan sombongnya. Kita lebih suka meluangkan masa bersama teman berbanding dengan Allah Ta'ala yang tidak pernah jemu menunggu kita.Kita terlebih dahulu melihat kebaikan ibu yang sanggup berjaga malam untuk kita, bukannya Allah..

Siapa kita? Kita lebih suka mencurahkan kasih kita, cinta kita kepada kekasih hati kita. Apabila tidak dibalas kita mula sedih dan merasa hiba. Apakah Tuhan tidak pernah kasih dan cinta kita?

Bagaimana pula dengan kasih dan cintaNya yang tidak dibalas...

Kitalah makhluk yang berakal tapi kitalah yang paling kejam.. Dimana ketenangan, dimana kebahagiaan..manusia.. Ya Allah itulah Tuhan sumber kebahagian dan ketenangan. Kenali dan cintailah Allah, kerana Allah menyintai kita.. Cintakan Allah tiada kecewa..cintakan Allah tiada kecewa.. اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت، خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت، أعوذ بك من شر ما صنعت، أبوء لك بنعمتك عليَّ وأبوء بذنبي فاغفر لي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت wallahua'lam

No comments: