Tuesday 4 May 2021

Jangan Lupakan Lailatul Qadar


Setelah ribuan tahun Umat Islam bersungguh dengan segenap usahanya menghidupkan lailatul qadar setiap kali tibanya bulan Ramadan, akhirnya kita sampai kepada zaman serba moden dan canggih. 

Bumi sudah ditebuk, langit sudah dibelah. Seakan pengetahuan manusia tentang alam ini sudah cukup mendalam. 

Termasuk pelbagai bentuk kemudahan yang dikecapi umat manusia pada hari ini seolah-olah lailatul qadar hanya cebisan kecil daripada himpunan kesibukan manusia. Lagi malang, yg tersisa daripada lailatul qadar hanyalah cerita² pelik yg akhirnya terperuk dibucu bersama cerita dongeng lain. 

Lalu lailatul qadar ditinggalkan.


Berkali-kali Lailatul Qadar ditinggal Sepi

Allah datangkan Covid-19 yang menjadi pandemik mematikan hampir jutaan manusia hanya dalam tempoh setahun. 

Lalu kesibukan manusia terhenti. Segala kerja tersekat. Baru mereka sedar ada sesuatu yang bernilai telah ditinggalkan kerana kesibukan selama ini. 

Mereka kembali mencari nilai-nilai ugama yang sekian lama dilambak didalam stor paling usang. Menyapu debu padanya dan menyusun kembali hidup berlandaskan ugama. 

Namun kesedaran ini tidak lama. Virus yang menjadi pandemik mula dipandang sepi. Kematian dikata palsu. Kesakitan dikata tipu. Sebenarnya mereka hanya inginkan kesibukan mereka kembali seperti dulu. 

Sekali lagi lailatul qadar ditinggalkan.


Mendapat lailatul qadar

Begitulah pertarungan nafsu dan iman. Sekali manusia bernafsu, habis ditinggalkan. Tatkala iman menguasai diri, mereka kembali pula mencari ugama. 

Lantas, Lailatul Qadar adalah tinggalan warisan ugama turun-temurun yang sangat bernilai. Malam agung yg tidak memerlukan cerita-cerita pelik untuk mengagungkannya. Harta karun yang bukan tenggelam di dasar laut. Tapi tertanam oleh timbunan kegilaan manusia kepada dunia. Sedang dunia sifatnya menipu. Dan manusia pula tidak serik ditipu berkali-kali.

Carilah lailatul qadar. Alunkan kembali ucapan membesarkannya. Panjatkan sebanyak-banyak doa' mendapatkannya. Semoga ia kembali bergema. Sehingga bukan kita mencarinya tapi lailatul qadar berdoa' untuk bersama kita.

Jua diingat, mendapat lailatul qadar adalah mendapat ugama. Menemuinya akan menguatkan iman. Kerana hanya dengan bersungguh dan ikhlas menjadi syarat memperolehi lailatul qadar. 

Moga kita terpilih. Amin 



No comments: