Thursday 16 May 2019

Ambang 10 Ramadhan



Ibadah puasa pada bulan Ramadhan memasuki harinya yang kesepuluh. Kerana rasa rindu kepadanya semakin mendakap jiwa, masa mula dirasa begitu cepat berlalu.

Ya, sudah berlalu sepertiga Ramadhan. Bilangan harinya dibilang-bilang oleh segenap hati yang disimbah kerinduan ibadah dan taqarrub kepada Ar Rabbul Jalil pada bulan penuh keberkatan ini..

أياما معدودات

Puasa adalah menahan diri daripada buakan nafsu. Nafsu itu mendorong dan mengajak kepada kesegeraan tanpa menghiraukan akibat. Ia meronta-ronta untuk mengecapi kemanisan segera dan mengabaikan kecelakaan selepasnya. Ia mencintai dunia yang fana dan meninggalkan akhirat yang kekal.

كلا بل تحبون العاجلة وتذرون الآخرة

Kerana nafsu, solat menjadi tidak khusyu'. Ia mendesak-desak tuannya untuk keluar dari solat. Itu kerugian yang nyata.

Kerana nafsu, lidah tidak basah dengan zikruLlah. Ia lebih girang untuk berdansa dan lagha dengan perbualan kosong, kesat, nista, kata bohong dan menyebar fitnah. Itu kecelakaan yang nyata.

Kerana nafsu, mata dan telinga menjadi liar kepada tarikan-tarikan yang haram. Seluruh anggota tubuh pula obses kepada keseronokan dan hiburan yang sia-sia. Itu kegelapan yang nyata.

Kerana nafsu, perut sentiasa lapar. Nafsu seks sentiasa membuas. Itu kejahatan yang ditakuti balasannya.

إن النفس لأمارة بالسوء

Ibadah puasa datang sebagai ubat kepada kesakitan penyakit dan perisai daripada segala kejahatan. Ia memegang nafsu dan menundukkannya. Lapar dan dahaga adalah demi Allah yang telah memfardukan ibadah puasa yang agung itu. Semua itu agar kita bertaqwa dan bersyukur.

لعلكم تتقون
ولعلكم تشكرون

Ibadah puasa meringankan badan. Ia menjernihkan akal dan jiwa. Ia menguatkan cengkaman iman dan taqwa. Ia lalu mendesak-desak kepada tafakkur dan tadabbur kepada ayat-ayat Allah dan segala nikmat-Nya yang tiada penghujung.

Ibadah puasa telah membuka segala pintu amal soleh dan kebaikan serta menutup segala ruang kejahatan dan neraka.

Cahaya Ramadhan menerangi siang dan malamnya. Cahaya al Quran. Cahaya iman. Cahaya puasa dan solat. Cahaya segala keberkatan iman dan amal. Allah-lah tuhan cahaya langit dan bumi.

Justeru angkatlah tangan mu memohon doa dan restu. Basahkan mata dan pipimu di hadapan hadrat-Nya yang maha agung pada bulan penuh ketinggian ini.

فليستجيبوا لى وليؤمنوا بى لعلهم يرشدون

10 Ramadhan semakin menjadi sebuah pesta pembebasan daripada penjara nafsu yang mengongkong dan menggari tuannya sendiri.

Berbaki 20 hari untuk kita nikmati keindahan bulan Ramadhan. Mari kita isikan dengan segala upaya kita demi kebahagiaan kita di dunia dan akhirat. Mari kita mengejar apa yang sedang dikejar oleh para pelumba menuju Allah daripada kalangan para ulamak dan para solihin.

Jangan kita ketinggalan jauh, apatah terlepas daripada perlumbaan yang paling benar dan paling hakiki ini.

وفي ذلك فليتنافس المتنافسون

Tahan diri daripada gejolak nafsu. Begitulah ibadah puasa. Selamat 'siyam' pada siangnya dan selamat 'qiam' pada malamnya.

كذالك يبين الله ءاياته للناس لعلهم يتقون

No comments: