Monday 15 May 2017

TRIBUT UNTUK SAHABAT KU USTAZ RAZIN




Jaulah ke Sinai kali ini, aku cuba menghayati perjalanan Tajalli Nabi Musa AS ke puncak Sinai.

Bermula ayat 142 sehingga ayat 144 Surah Al-A'raf,  menyebut tentang perjalanan Nabi Musa AS bertemu dengan Allah SWT di puncak Sinai. Allah SWT memulakan kisah perjalanan Musa AS ke puncak Sinai dengan menyebut nasihat Musa AS kepada Saudaranya Harun AS supaya menjaga kaumnya dengan prihatin.

Lantaran bani Israel meskipun baru sahaja keluar daripada episod duka berada dibawah kekejaman Fir'aun, namun saki-baki kepercayaan jahil masih terdapat dalam pemikiran mereka.

Kata Syed Qutb dalam Tafsir Fizilallil Qur'an:

"Kita melihat bagaimana jiwa manusia masih lagi cenderung kepada kepercayaan menyembah berhala atau paganism dan masih tertarik kepada kepercayaan syirik sebaik sahaja mereka melihat satu kaum yang sedang menyembah berhala dengan khusyu' dan menyebabkan aqidah tauhid yang dibawa oleh Musa AS terus goyah."

Justeru satu risalah diutus supaya mendidik dan menjadi panduan kepada Musa AS dan kaumnya. Maksud demi perutusan risalah inilah, maka berlaku temu janji Musa AS dalam pertemuan agung dengan Allah SWT.

Sebelum keberangkatan Nabi Musa AS, baginda terlebih dahulu diperintah supaya melakukan persiapan selama 30 hari dan digenapkan jumlah kepada 40 hari. Dalam tempoh tersebut, baginda melatih diri dengan ibadat puasa, mengasingkan diri daripada kesibukan dunia serta memberi perhatian hanya kepada seruan suci daripada langit.



Musa AS bermunajat kepada Allah SWT
Di puncak Tursinai, Musa AS telah memohon suatu yang tidak tergambar dan mengejutkan fikiran manusia, namun ia suatu kemahuan yang teramat daripada hati yang merindui, mengasihi Tuhannya. Baginda telah memohon untuk melihat Allah SWT!

Jawapan Allah bahawa Musa AS tidak sekali-kali dapat melihatNya. Kemudian ditunjukkan TajalliNya kepada sebuah bukit.

.. وَلَٰكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي..

"Akan tetapi lihatlah kepada bukit itu, jika ia berdiri teguh, maka engkau akan dapat melihatKu."

ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

"Maka apabila Tuhan bertajalli kepada bukit itu, ia ranap, hancur-lebur dan menjadi rata..

وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ.

Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia:
“Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang pertama beriman.”

Demikian secara ringkas pertemuan agung Nabi Musa AS di puncak Sinai. Perjalanan Suci mendekam diantara kerinduan hamba yang fana dengan Tuhan yang azali lagi qadim.

Sahabatku, Ustaz Razin

Sebetulnya malu untukku mengku bersahabat dengannya. Kami seangkatan menjadi sukarela menyerah diri kepada perjuangan Islam. Tiap kali bertemu dengannya, perkara pertama ditanya "nta Mukhlis ke, Muiz?"

Dia pergi sebagai pejuang dalam usia semuda itu. Inilah yang sentiasa aku pesan kepada diri dan kepada semua, bahawa perjuangan Islam bukan main-main, bukan boleh ditukar-ganti dengan perkara remeh-temeh daripada urusan dunia. Meskipun tiada yang mengiktiraf dirimu sebagai pejuang,  namun aku dengan sepenuh pucuk penyaksian, bahawa engkau pejuang.

Aku mendaki puncak Sinai mengkuti sunnah Nabi Musa AS sewaktu masih hidup bertemu Tuhan di puncak bukit, engkau pula telah mengkuti Musa AS kelangit bertemu kekasihmu.

Teman, sebut namaku dihadapan Tuhan, aku ingin mengikuti Musa AS dan mengikuti jejakmu.

Innalillahi wa inna ilahira jiuun.

Al-Fatihah..

(Catatan Sun, 5 Februari 2017)

No comments: