Friday 16 December 2016

Bersahabat dengan Tulisan



Buat kesekian-kalinya dia berasa cukup terasing. Entah dimana silapnya dan bagaimana pula cara menampungnya.

Bagaikan berada dilangit, tinggi dilihat orang. Namun dirinya cukup jahil untuk bersyarah tentang bentuk muka bumi. Jauh sehingga tidak mampu melihat dengan mata, ilmu pula tiada. Ah, sanjungan itu membawa rebah.

Lantas ke tulisan pula dia mengadu luka-sakitnya. Apabila tiada manusia yang ingin mendengarnya, hendak bertanya pendapat juga tiada yang memahaminya. Masalahnya rumit sampai tiada yang sanggup menadah telinga.

Menulis bagaikan ada jawabnya. Dia puas.

Puas kerana berasa kalimah-kalimah itu mendengarnya, huruf-huruf sudi melayani dirinya. Sebanyak mana dia ingin bercerita, selama mana dia ingin berbual, tulisan pula membalasi dengan panjang lebar dan menemaninya selama mana dia mahu. Selagi mana tangan belum letih bercerita, mata belum pejam, tulisan setia bersamanya.

Dia pernah bercerita tentang kemarahannya. Tulisan pula seakan marah juga hatinya!

Dia mengadu sedih, rupanya tulisan sangat sedih juga tentang nasib yang menimpanya.

Dia terkeliru. Tulisan menghurai satu persatu kekeliruan itu.

Terkadang pula tika bercerita, ilham memberi salam mahu berkongsi-rasa. Iya, ilham jarang sekali bersama, tapi sangat beruntungan jika ilham mendengar cerita. Sebab dia mampu menukar cerita. Sedih menjadi ceria. Kekusutan diselesaikan dengan mudah.

Tapi ilham tidak sesetia tulisan. Dia datang dan pergi semahunya saja. Maka ilham bukan kawan baiknya.

Hati manusia sudah puas bila ada yang mendengar dan memahami, walaupun tidak mampu memberi jawapan. Banyak keadaan, mendengar dengan senyap adalah jawapan. Mengangguk adalah jawapan, menggeleng ada masanya juga.


Alhamdulillah, Allah rezekikannya untuk bersahabat dengan tulisan ini. Mudah-mudahan makin erat dan mesra.

Pesan Buat Penulis

Apabila anda menulis, pernah anda perhatikan beberapa perkara?

Ketika anda dilamun cinta. Sambil mendengar lagu-lagu jiwang, mengelamun dan melayan perasaan berjam-jam.

Maka anda mulai menulis ayat yang puitis.

Pembaca pun memuji tulisan anda.
Wah, sungguh romantis..Wah, syahdu..

Ketika anda marah atau geram. Keluar rumah pula, dikelilingi hiruk-pikuk yang menyerabutkan.

Maka anda mulai menulis dengan tajam dan garang.

Pembaca pun memuji tulisan anda.
Padu! Mantap! Tajam!

Tapi saya suka bila anda menulis ketika tenang. Tenang itu waras. Waras menjadi penimbang antara baik dan buruk kesan tulisan.

Tulisan bukan saja perlu tajam dan sedap dibaca. Tapi tulisan perlu mengharmonikan suasana, bukan mengeruhkan keadaan.

Kemudian anda berkata, kalau begitu susah dan kita tidak akan mampu menulis.

Saya jawab, ya! Memang susah. Justeru senyap lebih baik daripada keberadaan anda menambah ribut atau memayahkan lagi orang yang sudah ditimpa musibah.

Wallahua'lam

No comments: