Tuesday 6 September 2016

Memeta Perjalanan Sebuah Cita-cita




Seyogia seorang Muslim mesti punyai segenggam cita-cita yang dibawa kemana sahaja dia pergi. Jika kehutan dia, hutan menjadi tempat dijayakan cita. Jika ke bandar dia, bandar itu menjadi saksi usaha gigihnya mencapai cita-citanya. Sebab itu, orang yang bercita-cita, dia tidak akan mati. Bahkan jika jasadnya mati sekalipun, akan ada anak-anaknya menyambung cita-citanya!


Cita-cita itu adalah sebuah garapan harapan yang lahir daripada hati yang tulus ikhlas dan kesucian Iman yang tersemat dalam mahligai hati.

Semakin besar cita, semakin kuat perasaan menembusi dirinya. Seakan hatinya lebih gagah daripada tubuhnya.

Bila cita-cita besar, maka halangan dalam perjalanan bukan lagi batu-batu yang menghentikan langkahnya, tapi ia ranting kayu yang sekadar melambatkan. Dia tidak akan mati langkah atau mengundur kebelakang atau berhenti. Padanya, mati kerana sebuah cita-cita adalah suatu kemuliaan.

Tiang Seri Ugama Sebagai Penguat 


ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

“Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang berlomba-lomba dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar”.

(QS. Faathir: 32)

Sementelah ugama Islam ini lahir dicelahan masyarakat yang kontra daripada isi kandungan Islam. Di sini kita melihat, orang yang membawa obor Islami ini mesti berjiwa besar. Lorong gelap untuk dilaluinya begitu panjang dan penuh berliku.

Kalaulah dia tidak berjiwa besar dan bercita tinggi, nescaya sekali dia terjelepok membawa obor itu, dia tidak akan bangun. Nescaya dirinya sendiri rebah dan tidak lagi sanggup meneruskan perjalanan sebelum obor di tangannya padam lagi.

Kerangka Islam itu sendiri terbina dengan harapan. Sesiapa sahaja yang berpegang dengannya, maka dia telah berlindung disebalik tembok yang kukuh.

Kenapa tidak, ugama ini telah melalui denai sejarah panjang untuk diserap semangatnya oleh penganutnya. Lamanya ugama ini, menjadi saksi penting, pejuang-pejuangnya telah melalui pelbagai mehnah dan cabaran yang besar. Namun setelah 1400 tahun, cabaran itu telah diharungi dengan kejayaan.

Kenapa tidak, Al-Qur'an itu sendiri menjadi motivator yang berterusan sepanjang zaman. Al-Qur'an menjanjikan harapan yang tidak boleh diberikan oleh mana-mana manusia.

Bagaimana Al-Qur'an telah menyeka air mata mereka yang bersedih dan berada dalam kegelapan,  kemudian mengisi hati mereka dengan kekuatan sehingga dia mampu bangkit dan pengakhiran hidupnya pula sebagai orang yang tersipu senyum dalam kejayaan. Maka disana kita melihat, para sahabat RA yang lahir di Mekah atau Madinah, tapi kubur mereka di serata dunia.

Kenapa tidak, Ar-Rasul sendiri sebagai sirah dan pedoman agung. Ar-Rasul adalah batang tubuh yang hidup dengan realiti masyarakat. Perhatikanlah kitab-kitab yang banyak tentang Rasulullah SAW, anda akan mendapati setiap tutur katanya, gerak-gerinya menjadi inspirasi besar kepada umat.

Kenapa tidak, setiap diri umat Islam itu sendiri telah disimpul erat dengan ikatan yang paling kukuh antara mereka. Dan jaringan umat Islam serata dunia ini bukan saja hebatnya pada bilangan yang ramai, bahkan kewajipan mereka untuk saling bertolong-tolongan atas kebenaran dan kesaksamaan ukhuwwah serta menentang kemelaratan, kesedihan dan kegelapan.

Ia suatu yang sungguh menakjubkan kalau benar-benar umat yang besar ini, melihatnya suatu kelebihan membina sebuat Ummah yang gagah!

Kenapa tidak, kita akan melihat Ulama' yang benar ilmunya sentiasa menghulurkan tangan memberi petunjuk kepada masyarakat. Ulama' adalah saksi hidup ditengah masyarakat yang merupakan tiang seri kepada kehebatan ugama ini sendiri.

Bercita-cita lah

Maka bercita-cita dan segerakanlah!

Bila Muslim bercita-cita, lahirlah orang kaya yang tidak habis hartanya, Cendekiawan yang tidak bertepi ilmunya, pejuang yang tidak kering darahnya, budi yang tidak berat untuk dicurahkan, keringat yang tidak kering peluhnya.

Demikian sifat dan kejayaan Muslim, bila mereka bercita-cita besar.

Wallahua'lam

No comments: