Thursday 29 January 2015

Untold Story 3: Episod Akhir


Shahir dan rakan-rakannya sedang mengemas beg kargo.  Ada yang membersihkan rumah, menyediakan makanan untuk solat hajat pada malamnya, mendoa'kan keselamatan untuk pulang ke Malaysia.

3 tahun sudah berlalu sejak pertama kali menjejak kaki ke bumi Mesir.

Banyak yang telah dipelajari. Talaqqi Qur'an, talaqqi kitab dan belajar bahasa adalah antara pengajian wajib dan telah mereka laksanakannya. Pastinya setelah melakukan perubahan dalam mengatur masa berikutan kesedaran melakukan kewajipan tersebut.

Dia telah menyelam ke laut dalam. Tapi tidak tenggelam atau lemas.

Benarlah, lemas dalam ilmu bukan seperti tenggelam dan lemas dalam lautan.

Orang yang lemas dalam lautan, pasti ingin segera ke permukaan dan terkapai pinta bantuan. Tapi orang yang lemas dalam ilmu, bukan ingin terus ke permukaan, tapi semakin lemas, semakin dalam dia menyelam. Kerana makin banyak dilihat permata dan kekayaan ilmu. 

Saat itu, dia bukan memerlukan orang untuk membawanya ke permukaan, tapi memerlukan orang menuntunnya supaya pandai menyelam.

Dalam hal ini, para Ulama' lah yang sebagai penyelamat!

Sepanjang pengalaman berpersatuan, ada pelajaran yang didapati secara formal dengan mengikuti kursus yang dianjur dan melakukan program-program.  Begitu pula pelajaran tidak formal yang diperolehnya tatkala bersama sahabat-sahabat dan senior yang tidur-bangun mereka, makan-minum mereka, bual-bicara mereka, semuanya adalah pelajaran berguna yang memberi seribu satu erti.

Mereka umpama awan mendung yang menurunkan hujan setelah lama berpanas dan merekalah juga matahari yang memanas setelah lama berhujan.

Allah..

Teman-teman adalah kurniaan Allah yang sangat besar nilainya. Manakan boleh ditukar-ganti walau dibayar dengan segudang kunci peti besi yang menyimpan emas dan permata.

Terima kasih Allah, atas kurniaan ini.

Terima kasih juga teman, yang sudi menemani diri ini selama pelayarannya. Menyelamatkan ketika hampir lemas, dan menuntun sehingga pandai untuk merenangi lautan yang luas.

Tahun 3 yang lalu pula, telah dilalui Shahir sebagai pelajar biasa. Tidak lagi memegang apa-apa jawatan. Terima kasih kepada teman-teman yang begitu memahaminya.

Kesana-kemari juga telah dirasai. Dumyat, Tanta, Matrouh, Siwa, Sinai, Giza dan lain-lain telah dilawati demi memenuhi tuntutan memerhati dan mengambil pengajaran kisah kaum terdahulu, juga menambah pengalaman buat perjalanan hidup yang masih panjang.

"Oi, Shahir.. Lama mengelamun?" Amal menyapa dari belakang..

"Haha.. Biasalah. Bila nak tinggalkan Mesir ni, berat pula kaki ni nak melangkah."

"Ye lah. Walaupun, arab kat sini dengan perangai yang pelik-pelik, tapi itulah.. Kata orang, yang pelik itulah nanti paling dirindui..haha." Kata Amal.

"Haha..pandailah kau, kata orang laa.."

Arab. 

Orang kata, kalau boleh bersabar dengan arab Mesir, pasti boleh bersabar dengan arab seluruh Asia Barat.

Ada sorang kawan, yang pernah dikejar anjing peliharaan gara-gara kenakalan budak-budak arab. Apalagi, ke hospital lah kawan tu. Kemudian, merata cari tanah nak basuh. Adoi laa..

Kalau bab duit pula, memang pantang paling besar. Kedekut itu biasa. Menipu dengan harga yang sangat tinggi pun kebiasaan.

Ada yang membeli habbatus sauda'. Hari ini harga lain. Keesokkan harinya pula, harga lain yang lebih mahal, walau di kedai sama dan barang yang sama. Dan duit, walau serubu' (1/4 sen) sangat berharga disisi mereka.

Pun begitu, ada yang baik.

Contohnya mak cik yang menjual mandil (tisu) yang duduk di tepi masjid. Walaupun anda niat bersedeqah dengan bagi duit tanpa mengambil mandil, dia pula akan marah-marah sehingga memaksa anda untuk mengambil tisunya juga.

Mudah-mudahan, lebih ramai yang berakhlak sebegini.

..

"Wey! Pasai apa hang nampak duk sengih sorang-sorang?" Aidil memecah lamunan Shahir yang nampaknya makin menjadi-jadi.

"Hang dah siap ke packing barang-barang tu? Kalau dah siap, meh tolong aku balut kotak ni."

"Ok..ok.. Kacaulah. Orang nak flashback sikit pun, tak boleh .. " jawab Shahir.

Aidil jenis orang yang tak boleh suasana krik-krik.. Bercakap banyak. Pasang lagu kuat-kuat.

"Mana kotaknya? Salotipnya mana?" Tanya Shahir.

"Jap... Amboi.. Marah nampak." Balas Aidil.

"Takdelah.. Pandai sangat kacau orang. Haha. Gurau jaa.." Jawab Shahir.

Sambil memasang lagu pada handset, Aidil menghampiri Shahir.

~Ku lihat semua gembira
Bila mengenali erti cinta
Senyuman ku beri hanya duka
Bila ingin teman tuk berbicara~
"Eh, lagu apa ni?" Bagaikan ada suatu tusukan terus ke dadanya, apabila mendengar bait-bait lagu tersebut.

Tusukan yang seperti memaksanya memutar kembali memori silam yang telah lama dilupakan. Tapi kini, dia seolah dipegang kepalanya, dikebilkan matanya, dibukakan telinganya dan dihadapkan mukanya kepada tayangan kisah silam.

Tayangan itu ditonton, sehingga mengalir air mata panas melalui bekas lama dipipinya, yang makin pudar..

Detik-detik yang hampir melumpuhkan perjalanan hidupnya, lantas merosakkan tanaman iman yang dijaga dan dibaja. Taman yang seperti sedang diinjak-diinjak oleh seseorang sedang dirinya tidak menyedari.

Peristiwa yang berlaku pada akhir tahun dua yang lalu, seusai saja exam.

Akhir Tahun 2

Cuti kali ini, Shahir dan beberapa rakannya berhasrat melancong sambil bekerja di UK. Ada sorang kenalan disana. Kenalan sejak zaman sekolah, Azmir.

"Shahir, cuti kali ni mu kena datang UK ni..Makan-minum dan tempat tinggal, tak payah bimbang."
Azmir mewassup Shahir seusai tamat exam akhir tahun 2 yang lalu.

Mesej tersebut dibiarkan Shahir tanpa dibalas kerana tamat exam, bererti semakin hampir kepada Mesyuarat Agung Tahunan (MESAT). Mesyuarat yang bakal menghisab kerja dan amanahnya, kemudian melantik kepimpinan baru.

Sibuk membuat persiapat untuk MESAT. Laporan, surat jemputan dan sebagainya, sehingga membuatkan kawannya Azmir menghantar satu lagi mesej dengan nada yang agak marah..

"Oii.. tahu lah awak tu sibuk. Tapi takkanla nak reply mesej pun tak sempat kot."

"Aduh.. sori bro.. InsyaAllah. Sebagaimana yang aku janji sebelum ni. Aku ke UK dalam 2 minggu lagi." Balas Shahir. Bersungguh untuk ke UK.



Tiba di UK

Azmir sejak sejam yang lalu sedang menunggu menyambut Shahir dengan gembira. Mereka berpelukan. Kawan baik dan paling lama setakat ni bertahan. Mereka telah berkenalan sejak sekolah rendah lagi. Kemudian sama-sama ke sekolah menengah yang sama. Akhirnya mereka dipisahkan selepas tamat sekolah menengah.

Azmir mengambil jurusan Biotec. Shahir pula Tahfiz dan Qiraat.

Jurusan yang berbeza. Namun, gabung jalin antara keduanya bakal menguatkan usaha da'wah kepada masyarakat di Malaysia seusai mereka tamat belajar nanti.

Malamnya sambil menjamah makan malam dihadapan meja bulat.

"Azmir, kau ni seuniversiti dengan Nur Izzah kan?" Shahir membuka perbualan, memecah kesunyian.

"Erk..!" Terjut Azmir.

"Weh.. kau ni kenapa?! Tersedak sampai.. kah..kah" 

"Haha.. sori-sori. Tak sangka kau masih sebut nama tu." Balas Azmir setelah minum seteguk air.

"Mesti laa.. Bukan aku kan yang suruh kau taqdim untuk aku hari tu.?" Shahir mengingatkan.

"Oh, masa aku taqdim tu, dia masih kat Malaysia. Baru tiga-empat bulan dia kat sini, katanya praktikal. Aku tak tanya lebih-lebih la pulak. Kenapa?"

"Saja jah." Jawab Shahir ringkas.

"Eh, korang macam mana eh? Sebab dulu, sekali je aku taqdim. Pastu, dia terus mesej kau kan? Maksudnya dah tak melalui aku.." Tanya Azmir inginkan kepastian. 

Ketika sebelum masuk tahun 2 dulu, Shahir telah meminta tolong Azmir untuk mentaqdim seseorang untuknya. 

Alhamdulillah. Setelah berlalu satu tempoh, si dia telah memberi keputusan bersetuju selepas beristikharah dengan beberapa syarat, antaranya menjaga batas syariat dan jodoh mereka adalah 3 tahun selepas itu, sementara dia tamat belajar.

Segala syarat tersebut diterima Shahir. Dengan redha dan bersedia. Perlahan-lahan bermula saat itu dia membina dirinya untuk membina rumah-tangga. sini.

"Adelah..haha. Memang dia mesej aku terus. Ade lah syarat-syarat tu. Antaranya 3 tahun lagi." Balas Shahir.

"Fuhh.. Sanggup kau tunggu tu." Azmir kagum dengan ketetapan hati kawannya. Shahir sebagaimana yang dikenalinya, memang seorang yang cukup patuh bila berjanji dan seorang yang cukup setia. 

Shahir yang dikenalinya adalah seorang teman yang sanggup menggadaikan diri demi kebaikan orang lain. Dia juga jenis yang mudah untuk menangis. Pantang dengar sedikit berita sedih, air matanya mudah saja untuk mengalir. 

Mungkin kerana itulah hatinya begitu bersih.

"InsyaAllah. Aku akan tunggu." Jawab Shahir ringkas, tegas dan penuh keyakinan.

"Wah, yakinnya. Tak pernah aku tengok kau begini kalau bercakap bab ni." Azmir bertambah kagum dengan Shahir. Pertama kali dia melihat sahabatnya begitu serius ketika bercakap perihal ini.

"Aku sokong kau. Nur Izzah Munirah ni, memang lain dari lain. Walaupun dia bukan belajar bidang agama, tapi stakat yang aku kenal, dia ni walaupun tidak berpurdah ataupun hafizah, dia cukup jaga auratnya.

Dia ni, tidak ada status fB yang mengumpan, ataupun kalau bermesej tu, nak berlama-lama tanpa keperluan memang bukan dia. Dia cukup jaga bila bekerja dengan lelaki walau dah lama kenal dan satu pasukan. 

Dia inilah contoh wanita yang menjaga aurat walau tak berpurdah, dan Al-Qur'an bergerak walau bukan hafizah!" Semangat sekali Azmir.

"Wow..! Kenapa tiba-tiba ni. Ada apa-apa ke..?" Shahir pelik dengan Azmir yang macam tiba-tiba bersemangat.

"Tak delah.. Aku ni, sebenarnya kecewa dengan wanita yang kat dalam fB tu.. Ah! malas la nak cerita. Nanti tak syok pulak nak keluar malam ni.. hahaha"

Berita Kesedihan berganti-ganti


"Ana tak sanggup untuk berjanji dalam tempoh yang begitu lama."


"Sudah lama sebenarnya ana ingin nyatakan.."



Malam itu Shahir tidak kemana-mana. Dia tinggal sendirian di rumah, Azmir pula pergi ke kelas.

Dia membuka fB. Alangkah terkejutnya mendapat khabar, seorang tokoh tempatan baru saja meninggal dunia. Sebuah nama yang begitu dikenalinya. Sosok tubuh tersebut sepanjang hidupnya telah tertikam oleh berbagai fitnah, keji dan kata nista. Parut pada tubuh tersebut tidak pernah hilang, sehingga ketika terlantar di hospital, dia masih di difitnah.

Semuanya gara-gara perjuangan yang dibawanya. Perjuangan yang menongkah arus nafsu manusia. Perjuangan yang begitu panjang dan lama untuk dicapai kemenangan, seringkali didengki oleh mereka yang sebenarnya turut berjuang, tapi inginkan kemenangan yang cepat.

Keteguhan dan ketegasan tokoh tersebut menjadi penghalang yang besar apabila ada pihak cuba merasuah dan membelinya tatkala menjawat sebagai Yang Berhormat. Dia telah berjaya untuk hidup dalam perjuangan. Dan telah berjaya meninggal dunia sebagai pejuang!

"Akhirnya, dia pergi jua. Moga tenanglah dia disamping rahmat TuhanNya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiu'un." Doa Shahir.

Kemudian Shahir seperti biasanya membuka mesej yang tidak sempat dibaca dan dibalas..

Tiba-tiba dia terkejut dengan satu nombor yang dia sendiri tidak berapa pasti pemiliknya. Namun, setelah dibaca, ternyata mesej panjang itu datangnya daripada dia, Nur Izzah Munirah.
"Hah, berhenti?!"

"Putus?"

"Kenapa ni..?"

"Ya Allah, berikan aku kekuatan mengahadapi kesedihan bertimpa-timpa ini.." Getus Shahir.

Banyak persoalan dalam dirinya. Pertanyaan yang hanya bermain dibenak kepala. Mesej yang baru saja diterimanya itu merupakan satu kejutan yang begitu cepat dan pantas. Dia baru saja menerima berita kehilangan seorang yang sangat disanjungnya. Kini dia terpaksa pula menghadapi satu kejutan jiwa ini.

Namun, persoalan-persoalan yang bermain dalam otaknya, tidak sanggup diluahkan dalam wassup sebagai membalas mesej panjang itu. Entah kenapa. Mungkin dia terkejut dan begitu sedih.

Dia tidak mampu membalas dengan baik. Sekadar mengatakan "baiklah dan terima kasih."

Adakah permintaan daripada mesej panjang itu dapat diterimanya dengan redha begitu sahaja?

Bunga yang diberikan, jadam yang diberi dan terpaksa ditelannya.

Adakah sependek dan seringkas itu jawapannya kepada si pemberi mesej panjang itu?!

Adakah Shahir sendiri sudah tiada apa-apa rasa dalam jiwanya kepada dia.. Sang Bunga Kembangan yang sebelumnya mekar dalam jiwanya. Telah bersemi sekian lama, memberinya semanagat walau tidak pernah berutus surat.?

Bagaimana dia boleh menerima mereka yang sebelumnya telah berjanji. Dan Shahir sendiri telah menambah kesabaran dalam diri. Penantian yang begitu lama telah lupus dan tergadai hanya dengan satu mesej?

Tidak.

Demam


Ternyata berita dalam mesej panjang itu telah menyebabkannya mundur dalam kehidupan hari-hari berikutnya.

Azmir melihat perubahan yang mendadak dalam diri sahabatnya. Semalaman ditinggalkan, keesokkanya dilhat temannya agak sembam.

Memanglah Shahir bercakap seperti biasa dengannya. Tapi selaku sahabat, dia dapat mengagak perubahan dalam diri sahabatnya itu, menandakan, dia punya masaalah!

Banyak termenung.

Kalau pergi ke masjid, Shahir akan berlama-lama.

Azmir tidak boleh bersabar lagi dengan perubahan sahabatnya itu.

"Shahir, kau ni kenapa hah?"

"Apa mir.. Aku Ok je.." Cuma, rasa nak balik ke Mesir lah. Rindu. huhu.." Balas Shahir. Cuba menyembunyikan perasaan.

"Ah, kau jangan tipu lah. Kau baru 3 hari disini. Dulu, kau juga yang cakap, nak keluar ambik angin lama sikit.." Balas Azmir. Dia begitu yakin, sahabat punya masalah yang besar.
"Betul..ni." Jawab Shahir lagi.

Azmir menghampiri Shahir, kedua belah tangannya memegang kedua belah bahu Shahir dari depan.

Shahir agak gelisah dengan perbuatan Azmir. Sentuhan sahabatnya itu telah membuat dirinya begitu tersentuh..

Air matanya mengalir..

Dia teresak-esak.

Hilang malunya menangis dihadapan sahabatnya itu.

Azmir memeluk Shahir. Shahir bertambah kuat menangis. Dia tidak mampu lagi menahan sebak dalam dadanya.

Nota Kaki Seorang Lelaki

Begitulah lelaki.

Karangan dan tulisannya begitu pendek dan ringkas. Dia tidak meluahkan segalanya diatas kertas.

Berbeza dengan wanita yang panjang tulisannya. Setiap rasa dan perasaan diungkap diatas kertas dengan dakwat.

Berbeza dengan lelaki, karangannya pendek, tapi nota kakinya yang panjang sekali.

Syarahannya panjang. Dia tidak meluahkan segalanya dalam mesej. Tapi disimpan dalam hati. Dan sehinggalah tabung simpanan itu telah mencapai paras penuhnya, perasaan itu tumpah menjadi air mata sahaja.


"Kalau buat begini kepada ana tak mengapa. Tapi tolong sangat-sangat, jangan buat begini kepada orang lain.." 

Shahir menghantar satu lagi mesej kepada dia..

Mesej sent.

Sebenarnya merelakan itu lebih mengubati. 


"Kalaulah aku tahu sakitnya perpisahan, nescaya tidak aku mulakan dengan pertemuan.."

Kata-kata Saidina Umar RA. Meskipun situasinya sangat berbeza, namun Shahir sangat merasakannya, saat mencari penawar kelukaan itu.

Perlahan-lahan Kembali

Azmir menasihatinya supaya format kembali handsetnya. Dan delete segala mesej yang berkait dengan Nur Izzah itu. Dalam fB dan sebagainya.

Shahir menurut sahaja.

"Shahir, kalau ada apa-apa masalah, terus bagitau aku ye..? Semoga selamat dan bersemangat." Ucap Azmir, sebagai ucapan perpisahan dengan Shahir.

"InsyaAllah.." Balas Shahir.

Setelah itu, Shahir memasuki balai berlepas. 

Kembali ke Mesir.

Malaysia, Aku Pulang..!


"Eh, ramai dah datang ni. Kalau nak sembahyang hajat, boleh da ni." Ujar Amal.

"Jom!"

"InsyaAllah, sahabat-sahabat sekalian, kami ex-ex Shoubra ni, ingin minta jasa baik kalian sama-sama solat hajat untuk dua perkara. Pertama, supaya selamat perjalanan pulang ke Malaysia nanti. Keduanya Doa'kan supaya kami dapat berikan khidmat terbaik apabila tiba di Malaysia nanti. Dapat memberikan manfaat ilmu dan kalau ada peluang, ingin sambung ke peringkat yang lebih tinggi.."

"InsyaAllah.." Jawab hadirin serentak.

"Tambah lagi, bia kawin cepat..haha" Ada yang menyampuk.

Masing-masing mengilai..

Shahir menjadi Imam.

Sebelum angkat takbir, dia berbisik dalam hati,
"ya betul. Semoga Allah temukan aku kembali dengan dia. Nur Izzah Munirah. Aku sanggup maafkannya."

SPRING-Pesanan Buat Kekasih 



~TAMAT~ 

Jangan lupa untuk baca kesemua siri ini:-

Untold Story 1 : Diary Budak Hafiz

Untold Story 2: dari Penuntut Jalanan

No comments: