Tuesday 27 March 2012

Jangan Puja saya kalau untuk Keji


Dunia kini punya satu sukan yang amat diminati oleh seluruh lapisan masyarakat, dari kanak-kanak sehinggalah kepada orang tua. Lelaki mahupun wanita. Lalu bergemerlapanlah para pemainnya. Tersohorlah mereka, diangkat dan dipuji bahkan dipuja kerana bermain dalam permainan ini.

Maka disana ada seorang bintang sukan dari kelab kenamaan dan dia pula seorang yang kenamaan. Umurnya  yang masih muda, namun alam kariernya selaku pemain striker telah dinobat sebagai penjaring terbanyak sepanjang tahun. Beliau juga menerima berbagai anugerah, termasuklah pemain terbaik Piala Dunia.

Tragedi Mengubah Suka

Suatu hari, ketika membuat latihan bersama rakan-rakan sepasukan seperti biasa, beliau terseliuh akibat kecuaian rakannya sewaktu latihan tersebut. Kecederaan yang dialaminya waktu itu, tidaklah kritikal. Oleh itu, dia juga tersenarai dalam kesebelasan utama pemain kelab sewaktu dalam saingan merebut juara liga.

Dalam perlawanan tersebut, beliau mendapat kemalangan buat kali kedua, juga pada bahagian yang sama. Bertambah parah kecederaan yang dialaminya.Setelah dirawat beberapa lama, beliau disahkan mengalami kecederaan yang serius sehingga beliau terpaksa menggunakan kerusi roda dan tidak dapat turun bermain ataupun berlatih sehingga tahap kesihatan baik yang memakan masa hampir  dua tahun.

Tamatlah masa berkerusi roda

Setelah dua tahun tidak menjejakkan kaki di padang yang berumput karpet hijau, akhirnya masa yang ditunggu sudah tiba. Kini dia kembali setelah hanya menyaksikan sukan tersebut melalui media. Kariernya bakal diteruskan kembali. Semangatnya kembali pulih, kesihatannya telah mencapai tahap maksimum, dia betul-betul sudah bersedia untuk beraksi!

Dia tiba di padang stadium milik kelabnya yang boleh memuatkan hampir 60000 penonton. Waktu itu, pasukannya sedang membuat latihan yang padat kerana mereka terpaksa bekerja keras agar tidak tersingkir di peringkat kumpulan. Rakan-rakan serta jurulatihnya terkejut dengan kehadirannya.Mereka gembira dengan kedatangannya pada waktu mereka betul-betul inginkan motivasi. Dia datang bersama isterinya yang setia. Menolak kerusi roda kemana sahaja.

Setiba di padang tersebut, dia tiba-tiba bangun dari kerusi roda, lantas berjalan kearah rakannya. Terkejut jurulatih serta rakan sepasukkanya  kerana dia sudah boleh berdiri kembali.! Merasa rumput dengan kakinya.

Semua bertepuk tanda gembira. Ada yang melaung-laungkan namanya. 

Pemain itu berjalan kearah mereka sambil memberi kata-kata semangat. Kerana dia tahu, mereka hampir-hampir berputus asa selepas ketiadaannya.

Namun kedatangannya bukan hanya untuk memberi motivasi dan semangat. Dia ingin kembali kepersada. Beraksi diatas padang, mendengar sorakan penonton dan peminat. Kembali menggalas tugas selaku kapten pasukan. 

Setelah selesai membuat latihan, Marshal bertemu jurulatihnya. Dia ingin menyatakan kesediaannya untuk mula beraksi, membantu rakan-rakan sepasukan bagi memenangi liga sekaligus kembali menjulang trofi kemenangan.

Marshal: "Encik, saya ada satu perkara yang perlu kita bincang."

Jurulatih: "Ada apa Marshal? Apa yang boleh saya tolong? Beritahu saja saya. Hari ini saya begitu gembira      kerana melihat ahli pasukan kita kembali bersemangat dalam latihan. Semuanya kerana kedatangan kamu Marshal."

Marshal: "Baguslah kalau begitu. Saya sebenarnya ingin mengikat kembali kontrak bersama kelab ini."

Jawab Marshal bersungguh.

Jurulatih itu terkejut dengan keputusan Marshal. Kerana baginya, kecederaan yang dialami bintang itu telahpun menutup serapatnya peluang Marshal untuk kembali bersama pasukan. Apa lagi berada dalam kesebelasan utama. Kalaupun dibuka peluang untuk Marshal pun, mungkin dia akan diberi tanggungjawab sebagai pembantu jurulatih.

Fikir jurulatih tersebut. Menimbang-nimbang permintaan Marshal. Pengalaman Marshal, memang berguna untuk pasukan. Tapi keterlibatannya diatas padang, sangat dibimbangi boleh merencatkan strategi serta pergerakan pasukan.

Jurulatih: "Marshal, saya terpaksa tangguhkan dulu permintaan kamu. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan yang lain."

Jawab jurulatih tersebut. Dia begitu serba-salah untuk memberitahu hal yang sebenar. Berbincang dengan rakan-rakan yang lain, hanyalah alasan untuk menangguh-nangguh keputusan.

Berikan aku Peluang

Marshal pulang ke rumah bersama isterinya. Dia kebingungan dengan jawapan yang diberikan kepadanya tadi.

"Aku ingatkan, permintaan aku tadi, akan disambut dengan gembira oleh dia.Kenapa dengan dia. Tidakkah dia tahu bahawa pasukan benar-benar memerlukan aku pada waktu segenting ini.?"

Fikir Marshal.

Malam itu, Marshal berdoa' kepada Tuhan Yang Esa. Marshal seorang yang beragama Islam. Rakan-rakan sepasukannya memang ramai yang beragama Islam. Meskipun beragama Islam, sebahagian daripada mereka bukanlah seorang penganut yang baik. Bagi Marshal pula, Islam adalah kehidupannya. Kata-kata yang dipegang oleh Marshal bahawa, "Hidup tiada makna kalau tanpa Islam".

Oleh itu, dia sentiasa mengisi hidupnya dengan mentaati segala ajaran agama. Ganjaran yang diperolehi, hanya sebahagian digunakan untuk dirinya. Selebihnya, ada yang diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam di negaranya. Setiap tahun, dia pasti akan melaksanakan umrah, disamping mengunjungi makam RasuluLlah SAW. Dia hidup dalam keadaan yang sangat sederhana. Justeru, dua tahun tanpa bermain bola, sangat dirasai peritnya. Dia telah terputus sumber kewangan.

Usai solat Isya', Marshal berdoa',
"Ya ALlah, telah lama aku menunggu saat ini. Wahai Tuhan yang telah memakbulkan doa' orang yang mengharap.. Engkau curahkan kesabaran kepadaku, tatkala aku terpaksa berhenti bermain akibat kecederaanku. Dalam tempoh itu, aku benar-benar dalam kesusahan. Aku mula merasai bagai kehilangan segalanya. Akhirnya, Engkau jua yang menyembuhkan aku. Sehingga aku merasa, bagai tanganku dipimpin kembali. Ya ALlah, aku menyerahkan nasibku hanya kepadaMu. Amin."  
Malam itu berlalu.

Jawapan Doa'

Setelah bersarapan, dia menatap akhbar harian yang dilanggan setiap hari. Mula-mula, dia membaca muka depan surat khabar, "Pemimpin negara perlu mencari Jalan lain sebagai penyelesaian kepada Jenayah yang Berterusan". Setelah itu, dia terus membelek ke bahagian dunia. Dia membaca perkembangan negara-negara lain, terutamanya negara Islam. Setelah membaca sekian lama, dia terus membelek bahagian akhir surat khabar, bahagian sukan. Dia membaca berita utama, "Kuku Singa, kini Kembali". 

Marshal terkejut. Dia pun membaca keterangan, " Pengurus kelab, akan mencuba kembali bekas pemain utama...."

ALhamdulillah. Tersembul keluar Tahmid dari mulutnya. Dia terus memanggil isterinya, bagi berkongsi kegembiraan itu. Kerana setelah dipinggir oleh masyarakat luar, hanya isterinya saja menjadi tempat untuk dia bergantung. Si isteri yang sebelum itu tidak bekerja, kini terpaksa memrah kudrat untuk menyara kehidupan mereka bertiga. Marshal pula hanya menolong apa yang termampu. Anak sulungnya, Khaled yang baru berusia 2 tahun, dijaga oleh Marshal. Maka berita itu disambut dengan gembira.

Tiba-tiba telefon berdering.

Marshal: "Hello, Marshal disini." 

Jurulatih: "Hello Marshal, saya ni, Henry. Kamu apa khabar? Ada baca surat khabar pagi tadi?"

Marshal: "Oh. Saya sihat. Terima kasih encik. Terima kasih kerana mempertimbangkan."

Jurulatih: "Tidak mengapa. Boleh kita bertemu hari ini? Kalau tiada halangan, eloklah kita percepatkan urusan kontrak itu." 

Marshal:" Hari ni.. Boleh. Saya akan datang dengan segera."

Setelah semua urusan diselesaikan, Marshal akhirnya turun sama ke padang untuk menghadiri sesi latihan.

Dalam sesi latihan tersebut, seperti biasa, semua pemain perlu membuat beberapa pergerakan untuk meningkatkan stamina. Antaranya, larian. Namun, sepanjang sesi tersebut, stamina Marshal menunjukkan dia berada dalam keadaan yang terlalu lemah. Dia gagal dalam sesi tersebut. Setelah itu, mereka perlu membuat latihan skil. Kerana sudah terlalu lama tidak bermain, pada sesi tersebut juga, Marshal menunjukkan pencapaian yang agak lemah. 

Namun Marshal tidak berputus asa. Dia berusaha meningkatkan pencapaian dirinya ketahap yang paling baik, bagi membantu pasukannya supaya tidak tersingkir, sekaligus melayakkan pasukannya keperingkat keseterusnya.

Akan tetapi, dari waktu dia diterima sehingga tarikh perlawanan, masanya hanyalah 3 minggu. Masa yang terlalu singkat untuk Marshal melakukan perubahan kepada dirinya.

Jangan Puja saya kalau untuk keji

Pada hari perlawanan, Marshal terpaksa berada di bangku simpanan kerana prestasi dirinya yang begitu lemah.

Juruhebah perlawanan menyebut berulang kali akan kehadiran Marshal pada perlawanan tersebut. Semua penonton begitu gembira dengan kehadiran Marshal. Seolah sebutir bintang sedang bergemerlapan di bangku simpanan. Akhbar-akhbar tempatan juga sebelum perlawanan tersebut, banyak menyebutkan tentang kehadiran Marshal dalam perlawanan itu. Ada yang memberi pandangan positif. Tidak kurang juga yang membuat analisis yang negatif. Apapun pandangan mereka, Marshal dianggap bakal memberi kejutan dalam penampilan itu bagi membantu pasukannya.

Setelah tamat separuh masa pertama, pasukan Marshal diikat dengan mata 1-1. Pada masa kedua, Jurulatih pasukan, memilih Marshal sebagai striker pasukan.

Separuh masa kedua pun berlangsung. Perlawana terlalu sengit. Pasukannya banyak menerima serang dari pasukan lawan. Namun pasukan Marshal juga banyak mencipta peluang untuk membuat jaringan. Akan tetapi, tiada pemain yang dapat disudahkan untuk membolosi jaring pihak lawan. 


Masa hanya berbaki 20 minit lagi.  Marshal tidak dapat bermain dengan baik. Seolah-olah apabila bola berada di kaki Marshal, walaupun dalam keadaan yang paling baik, namun Marshal tetap tidak dapat menyudahkannya.

Rakan sepasukan mula mencemuhnya. Setelah banyak peluang terhidang, namun gagal disempurnakan oleh Marshal dengan baik. Penonton mula marah. Ada yang menempik supaya Marshal dikeluarkan. Gema suara penonton seakan sepakat membenci aksi yang ditunjukkan Marshal. Mereka mula membaling botol dan berbagai benda lain sebagai tanda protes.

Melihat keadaan itu, jurulatih pasukan, terpaksa mengeluarkan Marshal dari perlawanan. 

Kini masa sudah tamat. Pengadil memberi masa tambahan sebanyak 5 minit sahaja. Marshal ditukar. Selepas pertukaran pemain, keadaan pasukan Marshal agak stabil. Mereka mula mengatur serangan. Hasilnya, sebelum wisel penamat dibunyikan, hantaran dapat disempurnakan dengan jaringan gol menjadikan mata, 2-1.

Begitulah perlawanan yang disertainya buat kali pertama sesudah kecederaan.

Mereka memuji, meletakkan Marshal setinggi mungkin, sehingga tidak sanggup melihat kesilapan yang dilakukan Marshal. Inilah yang sangat memberati diri Marshal. Orang sekeliling yang menyokong melalui desakan. Serta mendokong tanpa mendorong.

Marshal ketika ini, terlalu mengharapkan secebis kepercayaan daripada semua pihak sekelilingnya.

Namun, apa yang pasti, kepercayaan buat dirinya bukanlah daripada makhluk sepertinya. Justeru beliau akan terus bangkit.

WaLlahua'lam








No comments: