Wednesday, 31 May 2017

Rumah Hijau itu Rumah Syurga




Biasa mendengar Rumah Syurga dan tentulah ia impian semua. Tapi tidak pernah terbayang bagaimana syurga nan indah itu berada di dunia ini. Apatah lagi syurga itu bukan dibina oleh ramai orang atau pakar-pakar. Tapi syurga itu telah berada di rumah yang terletak di kota sibuk dan kering. Dan arkiteknya adalah orang biasa yang berjiwa luar biasa.

Rumah hijau itu kecil, tapi cukup. Rumah hijau itu padat, tapi muat. Rumah hijau itu ramai penghuni, tapi bahagia. Rumah hijau itu meriah dan tenang, Tinggi tapi tidak sabar untuk dimasuki.


Kerana apa?

Kerana syurga dunia, bukan pada kaya atau miskin. Bukan pada punya semua perkara. Syurga dunia bukan pada memiliki. Tapi Syurga di dunia adalah mempunyai hati yang sentiasa Redha, lantas ia merasa cukup dengan sedikit. Syurga Dunia adalah dengan memberi, lantas ia menjadi orang kaya kerana hanya si kaya mampu memberi walau sedikit.

"Sesiapa yang tidak merasakan Syurga Dunia, dia tidak akan memiliki Syurga Akhirat." 
-Hamka.

Sesiapa sahaja boleh mendapat syurga dunia, asalkan keinginannya sentiasa pada syurga akhirat. Jiwanya telah berada di syurga akhirat. Fikirannya sentiasa mengharapkan syurga akhirat. Balasan yang paling diingini, hanyalah syurga akhirat. Maka kerana kemahuannya itu, Allah telah memberinya syurga di dunia, sebagai pendahuluan kepada Syurga Akhirat!

Syurga sebelum syurga..

Usahlah, merendah diri kerana sedikitnya harta dunia. Usahlah berduka dengan ujian dunia. Kesatlah air mata kecewa menghadapi cabaran dunia. Kerana selagimana semuanya adalah dunia, maka mahu diingat..ia hanyalah sementara. Sedang akhirat lah yang kekal abadi.

Rumah syurga, bukan pada rumah. Tapi pada penghuni nya. Mereka Soleh-Solehah. Mereka Beriman. Mereka berasa cukup dengan Allah..Ya, kontraktor mungkin tahu membuat rumah. Tapi hanya penghuni yang beriman tahu menjadikan rumahnya seperti syurga. Kerana kesungguhan mereka membina Rumah Syurga Dunia, semoga Allah binakan Rumah Syurga Akhirat untuk mereka.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَأَخْبَتُوا إِلَىٰ رَبِّهِمْ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh dan merendahkan diri kepada Tuhan mereka, mereka itu adalah penghuni-penghuni surga; mereka kekal di dalamnya."
(Surah Hud: 23)

Saya sudah menemui Rumah Syurga itu, anda bagaimana?

Wallahua'lam.


Dengarkan..😉












No comments: