Wednesday, 7 October 2026

Jika tiada dalam sejarah, kita cipta sejarah. Jika ada, kita ulangi sejarah!


Kemampuan bersyarah tentang sejarah memang hebat. Bermain dengan fakta, tahun dan angka — cukup mengagumkan.

Namun, orang yang mampu mencipta sejarah, jauh lebih luar biasa.

Terkadang kita terlalu lama membaca sejarah, sehingga kita lupa bahawa sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dijadikan pedoman.

Ada yang gusar apabila membayangkan tentang kebangkitan.

Katanya, khilafah yang terbina dahulu bukan sehari. Jalannya panjang. Jalannya sukar. Maka hampir mustahil untuk dibentuk kembali.

Tetapi sejarah tidak pernah bermula dengan orang yang yakin bahawa sesuatu itu mudah.

Sebab itu Kekhalifahan bukan dimulakan oleh pencinta sejarah. Tapi dibina oleh pencipta sejarah.

Solat




 Solat fardhu kerana taat,

Solat hajat kerana perlu,

Solat tahajjud kerana cinta,

Solat dhuha kerana syukur.


Solat istikharah kerana buntu,

Solat taubat kerana dosa,

Solat tasbih kerana rindu,

Solat jenazah kerana sedar.


Namun jangan datang kerana susah,

Jangan kembali kerana rebah,

Jangan mengingat hanya ketika perlu,

Jangan mencari hanya ketika buntu.


Datanglah kerana Dia Tuhan,

Dekatlah kerana Dia tujuan,

Cintailah kerana Dia segala,

Sujudlah kerana Dia semata.

Sunday, 29 May 2022

Nota Anak-anak ku, Munajat buat Tuhanku



Pada hari ini, Abdul Aziz Nusairi telah melangkah usia 1 tahun setengah. Secara jujurnya, terasa gelas kasih sayang kepadanya belum penuh saya mengisinya. Terlalu banyak ruang-ruang kosong yang dibiarkan lompang tidak tertampal. 

Maafkanku wahai anakku. 

Banyak yang bermain difikiran. Beban ini terlalu berat untukku pikul. 

Namamu tidak selalu singgah dalam doaku. Bahkan doaku seringkali hanyalah lintasan kalimat tanpa maksud! Ia kosong dan terucap sekadar hafalan dimulut.

Pada hari ini juga, Allah kurniakan ku Abdul Hadi Humaidi. Maafkanku jua anakku. Kelahiran mu terasa begitu cepat. Belum sempat ayahmu menyusun waktu dengan kekandamu. Padahal, ia hanyalah alasan untuk menutupi kelalaianku. Padahal Allah kurniakan mu bersekali dengan kemudahan-kemudahan yang lain. 


(Malam ini ku bermunajat)

Entah kenapa, dikala isteriku masih dihospital. Hanya bertemankan anakanda Aziz yang sudah tidur disisi. Malam yang begitu tenang ini dengan angin sejuk melalui tingkap sesudah hujan tadi..ia benar-benar menyergap hati ini, namun dengan tusukan lembut dan halus. Lantas mencetuskan perasaan yang sudah lama tidak menghinggapi diri. 


Seingat saya, ia perasaan sewaktu di Mesir dahulu. Tatkala menggalas amanah berat. Ia adalah malam-malam yang penuh inspirasi. Bersamanya semangat yang membuak. 

Namun kali ini lebih kuat dan realiti. Keluarga kecilku secara berkepingan melintasi lubuk fikiran ini. Memintaku melunaskan janji yang hampir ku lupai. 


Kemana ingin ku bawa keluarga ini? 


Ia persoalan yang sebelum ini sudah ada jawapnya. Ya, jawapan yang dahulunya sangat jelas terang. Ia hampir kabur kini. 

Mari kita terangkan kembali surat akujanji ini.  Janji membawa keluarga kita kepada Redha Allah ketika hidup di dunia dan ketika hidup di akhirat.