Buat kesekian-kalinya dia berasa cukup terasing. Entah dimana silapnya
dan bagaimana pula cara menampungnya.
Bagaikan berada dilangit, tinggi dilihat orang. Namun dirinya
cukup jahil untuk bersyarah tentang bentuk muka bumi. Jauh sehingga tidak mampu melihat dengan
mata, ilmu pula tiada. Ah, sanjungan itu membawa rebah.
Lantas ke tulisan pula dia mengadu luka-sakitnya. Apabila tiada manusia yang ingin mendengarnya, hendak bertanya pendapat juga tiada yang memahaminya.
Masalahnya rumit sampai tiada yang sanggup menadah telinga.
Menulis bagaikan ada jawabnya. Dia puas.
Puas kerana berasa kalimah-kalimah itu mendengarnya, huruf-huruf sudi
melayani dirinya. Sebanyak mana dia ingin bercerita, selama mana dia ingin
berbual, tulisan pula membalasi dengan panjang lebar dan menemaninya selama
mana dia mahu. Selagi mana tangan belum letih bercerita, mata belum pejam,
tulisan setia bersamanya.
Dia pernah bercerita tentang kemarahannya. Tulisan pula seakan marah
juga hatinya!
Dia mengadu sedih, rupanya tulisan sangat sedih juga tentang nasib yang
menimpanya.
Dia terkeliru. Tulisan menghurai satu persatu kekeliruan itu.
Terkadang pula tika bercerita, ilham memberi salam mahu berkongsi-rasa.
Iya, ilham jarang sekali bersama, tapi sangat beruntungan jika ilham mendengar
cerita. Sebab dia mampu menukar cerita. Sedih menjadi ceria. Kekusutan
diselesaikan dengan mudah.
Tapi ilham tidak sesetia tulisan. Dia datang dan pergi semahunya saja.
Maka ilham bukan kawan baiknya.
Hati manusia sudah puas bila ada yang mendengar dan memahami, walaupun
tidak mampu memberi jawapan. Banyak keadaan, mendengar dengan senyap adalah
jawapan. Mengangguk adalah jawapan, menggeleng ada masanya juga.
Alhamdulillah, Allah rezekikannya untuk bersahabat dengan tulisan ini.
Mudah-mudahan makin erat dan mesra.
Pesan Buat Penulis
Apabila anda menulis, pernah anda perhatikan beberapa perkara?
Ketika anda dilamun cinta. Sambil mendengar lagu-lagu jiwang,
mengelamun dan melayan perasaan berjam-jam.
Maka anda mulai menulis ayat yang puitis.
Pembaca pun memuji tulisan anda.
Wah, sungguh romantis..Wah, syahdu..
Ketika anda marah atau geram. Keluar rumah pula, dikelilingi
hiruk-pikuk yang menyerabutkan.
Maka anda mulai menulis dengan tajam dan garang.
Pembaca pun memuji tulisan anda.
Padu! Mantap! Tajam!
Tapi saya suka bila anda menulis ketika tenang. Tenang itu waras. Waras
menjadi penimbang antara baik dan buruk kesan tulisan.
Tulisan bukan saja perlu tajam dan sedap dibaca. Tapi tulisan perlu
mengharmonikan suasana, bukan mengeruhkan keadaan.
Kemudian anda berkata, kalau begitu susah dan kita tidak akan mampu menulis.
Saya jawab, ya! Memang susah. Justeru senyap lebih baik daripada
keberadaan anda menambah ribut atau memayahkan lagi orang yang sudah ditimpa
musibah.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment