Saturday, 21 February 2015

Berpundak Amanah, Menyanggupi Pengorbanan


Saya masih ingat, ada satu program seperti wacana ilmiah khususnya berkaitan dengan pengajian pada tahun lalu.

Antara point penting yang sempat saya tangkap adalah, ada dalam kalangan para pelajar hari ini, ingin belajar tapi dalam keadaan selesa.

Ada yang menuntut ilmu hanya dihadapan laptop sambil makan dan berbaring tanpa ada catatan dan nota. Saya tidak mengatakan cara demikian salah. Tapi, kalau begitulah cara utama menuntut ilmu, maka demikian memang salah.

Bermakna kita meninggalkan kelas-kelas pengajian, meninggalkan talaqqi, adab belajar yang memberi keberkatan bahkan meninggalkan sunnah alim ulama' terdahulu. Lebih menduka-cita apabila beranggapan belajar sambil meniarap itu sudah cukup!

Ingin belajar, tapi tidak mahu bersusah. 

Belajar tanpa menjadi pelajar.

Amanah, Perjuangan & Pengorbanan 

Hari ini, ada pula yang ingin berjuang diatas permaidani. Ingin berjuang, tapi tidak mahu bersusah-payah. Tidak sanggup memikul amanah, sebagai tanggungjawab perjuangan.

Berjuang tanpa menjadi pejuang!

Meninggalkan usaha untuk memperbaiki diri menjadi seorang yang diiktiraf sebagai pejuang.

Berjuang dengan meninggalkan sunnah perjuangan.


Sekadar mengaku sebagai pejuang diatas kertas dan membuat status dalam fB disamping mengambil sekeping-dua gambar berserta sedikit nota kaki, "Inilah Perjuangan", kemudian upload Instagram.

Alangkah mudahnya perjuangan.

Ada pula yang berkata, inilah perjuangan hari ini. Kalau beralasan perjuangan mengikut zaman, sebenarnya mereka terleka dengan zaman.

Jika dalam perniagaan sekalipun, masih perlu bersusah-payah dan kesana-kemari untuk bertemu pelanggan pada zaman internet ini.


Masakan pula dakwah yang perlu untuk menyeru dan mengajak, menunjuk contoh teladan, hanya boleh berjaya dengan meniarap dihadapan laptop?

Mewarisi Baton Perjuangan, Merelakan Cubaan dan Cabaran

Firman Allah SWT:


"(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)".
(Surah Al-Baqarah: 133)


Telah berlalu zaman mereka yang telah pergi. Mereka yang kita kenali telah hidup sebagai pejuang, dan pergi pula sebagai pejuang.

Batang tubuh mereka yang dipenuhi parut fitnah dan cacian manusia telah menjadi saksi bahawa mereka telah menyerahkan diri membentengi agama ini daripada dirosakkan.

Pergi mereka meninggalkan baton yang perlu disambut. 

"Sambunglah perjuangan kami setelah pemergian kami", demikian ratib yang sering mereka peringatkan kepada generasi muda.

Ya, generasi harapan.

Hargailah masa, demi kemenangan Islam.

No comments: