"Aku memang tidak puas hati lama dah. Macam mana kata pejuang Islam, Parti Islam, tapi perangai hampeh, duit make sore..!"
Marah benar bunyinya. Kecewa melihat kerenah wakil rakyat yang berbaju parti Islam.
"Bila kita minta, kata tidak ada duit. Tapi tiba-tiba lepas PRU, bawa pekerja-pekerja markaz ke Bandung!"
Tambahnya lagi. Menceritakan kisah yang terkena kepada diri sendiri.
Sememangnya hujah yang besar, kalau akibat itu, kena kepada diri sendiri.
"Aku masa mengundi hari tu, balik daripada Mesir 2 hari jah. Semata-mata nak mengundi. Nak pertahankan Parti Islam kita nih."
Anak muda yang bersemangat ini memilih untuk pulang ke Malaysia sewaktu PRU ke-13 baru-baru ini. Dengan penuh semangat dan ikhlas untuk mengundi semata-mata.
Namun agak kecewa apabila pengorbanannya tidak diadili dengan baik oleh orang-orang dalam Parti Islam. Mintanya bukan banyak, sekadar sedikit wang sebagai saguhati untuk menampung tambang kembali ke Mesir.
Tanda terima kasih.
Kalau ditanya kepada saya, setujukah saya dengan hal itu?
Saya akan jawab, "Itu baru sikit yang kamu tahu. Saya tahu banyak lagi benda kelemahan yang kamu tidak tahu. Dari kecil sampai besar-besar pun, ada yang saya tahu."
Saya hanya jawab dalam hati. Apabila mendengar dari jauh seorang senior yang sedang rancak bercerita itu. Sebenarnya saya sedang bersedia, kalau lepas tu dia nak minta pendapat saya pula. Hehe..
Kita insaf dan sedar, itulah saja yang kita ada.
Terpulang kepada kita, samaada terus menjadi penyokong dari luar merangkap pengkritik dari dalam, ataupun bersama kita perbaiki kelemahan itu.
Kalau bukan kita, orang lain pun akan kata, kalau bukan aku, tidakkah ada orang lain?
Saya
Saya bukan ahli parti Islam. Saya tidak ada pun kad keahlian.
Apa yang paling penting, sebenarnya saya malu untuk mengaku ahli. Apatah lagi berbangga sebagai pejuang parti dan pejuang Islam. Saya malu bukan kerana sedikit hitam yang melekat pada kain putih parti itu. Bukan malu kerana kelemahannya.
Tapi saya malu untuk mengaku kerana bimbang diri saya dilihat sebagai wakil parti Islam itu dalam satu-satu masa.
Saya yang penuh sikap buruk, akhlak yang belum baik dan berbagai kelemahan, bimbang diambil kesempatan oleh pihak lain. Bimbang akan menambah hitam pada bendera parti.
Meskipun begitu, saya sedar kita adalah umat da'wah. Tidak menjadi ahli, bukan tiket untuk mengiakan perbuatan buruk kita. Bukankah, akhlak yang mulia itu adalah kewajipan bagi setiap Muslim?
Soalnya, bukan Persoalan
Seorang arkitek yang mahir. Tiba-tiba ditemui di kedai kopi sedang mengata dan mengumpat. Doktor yang punah peribadi, selesai pembedahan, diceritakan keburukan pesakitnya. Seorang guru, tidak menjaga tutur katanya.
Demikian contoh, masyarakat sekitar. Kenapa tidak kita persoal akhlak mereka? Kenapa mudah saja kita mengahalalkan punah dan rosak akhlak mereka kerana mereka ialah orang yang berjaya dan penuh dedikasi dalam kerjaya?
Itulah buruk dan huduhnya sifat kita dengan meletakkan Islam itu hanya pada keadaan tertentu dan milik orang tertentu saja. Pada masa sama, kita pula mengomel para ustaz yang memiliki peribadi yang buruk.
Mungkin kerana kita berpendapat, sebab mereka itu ustaz. Bercakap soal agama. Kenapa mereka tidak baik seperti agama yang dicakap?
Habis kita? Kita bukan orang beragama? Kita yang pada harini mahu juga bercakap soal agama, tidak perlukah kepada akhlak dan sifat yang baik itu? Jangan pula kita kata, aku bukan lulusan agama.
Kalau bukan lulusan agama, agama ini bukan milik kita lah? Dan tidak perlukah kita untuk belajar tentang agama?
Kenapa mesti agama itu milik para ustaz sahaja? Sehingga baik-buruk peribadi mereka, kita kata itulah Islam. Kenapa tidak kita anggap Islam itu milik setiap Muslim. Baik-buruk pandangan orang kepada Islam, bergantung kepada Muslim seluruhnya. Dan kita salah seorang daripada mereka.
Kesimpulannya, agama milik semua Muslim. Cukuplah sekadar kita jaga akhlak dan sifat selaku orang yang beragama supaya agama ini dilihat baik. Dan tidak perlu bersusah-payah bebankan diri kita dengan perkara yang tidak menjadi kewajipan keatas diri.
Biarkanlah kepada ahli yang mahir dalam agama, tentunya orang memiliki akhlak dan sifat yang dipercayai untuk melakukan penyelidikan tentang agama.
Dan kalau kita juga mahu bersama mereka, ikutilah jalannya. Belajar lah bersungguh dalam agama. Pastinya bukan sekadar hafal Qur'an, belajar kitab sikit, sudah mendakwa kita orang agama. Sebaliknya jadilah orang yang dipercayai terlebih dahulu sebelum diberi kepercayaan bercakap soal agama.
Agama milik orang beragama. Adapun orang yang dipercayai, antara ciri-ciri orang agama.
No comments:
Post a Comment