Wednesday, 1 November 2017

Dunia yang Menipu, Akhirat yang Dirindu



نَصَبَت لَنا الدنيا زَخَارِفَ حُسْنِها ## مَكْرًاً بِنَا وخَدِيعَةً ما فَترَت 

وهى التى لم تَحلُ قَطُّ لذائقٍ ## إلا تَغَيَّرَ طَعْمُها وتَمَرَّرَتْ

خدَّاعَةٌّ بجَمَالها إن أَقْبَلَت ## فجَّاعةٌّ بِزَوالِها إن أَدْبَرَت

“Sebenarnya dunia ini telah memerangkap kita dengan perhiasannya. Ia memiliki kecekapan yang luar biasa dalam menipu dan memutar-belit kenyataan.”

“Bila ia pernah memberikan sedikit manisan kepada penggemarnya, pasti selepas itu ia akan memerangkapnya dengan kepahitan.”

“Itulah dunia yang sangat pandai menipu dengan keindahannya. Apabila ia datang dengan kegembiraan, maka pasti kegembiraan itu akan dibayar dengan kesusahan.”

-Nukilan syair daripada kitab Bustanul A’rifin


Akhirat: Kampung Halaman yang Dirindui
Kampung halaman orang beriman adalah negeri akhirat. Disitulah tempat kita dilahirkan, tanah tumpah darah kita. Ia tempat permainan kita. Sebab itu bila nanti kita dikembalikan kesana, kita tidak kekkok (susah) membiasakan diri dengan adat resam penghuni syurga. Kerana memang itulah asal-silah cara hidup kita.

Kerana akhirat adalah kampung halaman kita, maka kerap-kalilah fikiran kita melayang teringat dan merindukannya. Ada saja masa kosong, ah! teringat saja kita ke kampung kita itu. Dengan segala macam selok-belok, laluan, kenikmatan dan kebahagiannya sudah mengiurkan hati dan menimbulkan perasaan kita untuk segera pulang.

Demikian kata Ibnu Rajab:

"Tatkala Allah menjadikan Adam AS, Allah SWT menempatkannya di syurga. Kemudian diturunkan ke dunia, tetapi dijanjikan kepada mereka dan juga keturunan mereka yang Soleh untuk kembali ke syurga.  Oleh itu orang mukmin sentiasa merindui dan mencintai negerinya yang pertama, dan cintakan tanah air (yang hakiki) adalah sebahagian daripada iman."

Dunia bukan Tempat Orang Beriman
Manakala dunia adalah negeri asing bagi kita. Ini negeri orang.  Oleh tu banyak perkara yang sukar kita kendalikan disini. Hari ini kita menyatakan sesuatu tentang kehidupan dunia, hari esok kita sendiri yang membangkangnya. Ia sebuah kehidupan yang sukar difahami.

Kita disini hanya sebagai perantau untuk bekerja saja. Gaji yang kita perolehi, bukan untuk bersenang-lenang disini. Tapi untuk kita terus masukkan ke bank sebagai simpanan untuk dibuat belanja di negeri asal kita.


Hidup sebagai perantau disini tidaklah mudah seperti yang kita baca dalam mana-mana tulisan. Tidak semudah yang kita fikirkan. Bukannya dengan meletakkan suatu ketetapan, kemudian kita mampu mengigitnya menjadi prinsip sampai mati. Justeru keadaan ini kadangkala menyebabkan kita takut untuk menasihati orang, menyuruh mereka istiqamah,  memberikan mereka panduan, apalagi mencebik bibir terhadap mereka yang tidak mampu berpegang dengan ugama, kerena tewas kepada dunia yang menekan.

Dunia ini terkadangnya menyempitkan dada kita. Ia menekan kita supaya memikirnya dengan menyusahkan kehidupan kita.  Sedang kita lebih suka memikirkan tentang kesusahan orang lain. Kita lebih suka memikirkan perjuangan Islam daripada berfikir perjuangan peribadi. Kita lebih suka berfikir masalah ummah daripada masalah diri.

Kita risaukan diri. Mungkin iman kita gagah dan kuat hari ini, kerana kita belum lagi diuji seperti orang lain. Hari ini kita boleh hidup zuhud mungkin kerana kita tiada wang. Bagaimana pula suatu hari jika sudah punya harta yang banyak? Ataupun hari ini mungkin kita boleh bersabar dengan tekanan ekonomi, atau mampu fokus mengejar cita-cita kita, kerana hidup kita serba cukup. Bagaimana kalau suatu hari jika kita hilang semua kemudahan itu, agaknya mampukah kita bersabar ataukah sudah kering tekak kita mengucap kata syukur?

Firman Allah SWT:
الم ﴿١﴾ أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾

"Alif, Laam, Miim."
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."‏ 
(Surah Al-Ankabut: 1-3)

Kerana itu, kita terlihat kanak-kanak di Mesir ramai yang tidak bersekolah. Kita pelik. Padahal sekolah adalah perkara wajib dan betapa peri pentingnya pelajaran setakat yang kita tahu. Apa lagi sekolah di Mesir tidak beryuran. Rupanya mereka tidak bersekolah bukan kerana tidak cukup duit buat belajar, bahkan mereka tidak cukup duit untuk hidup pun. Masa yang ada perlu diguna untuk bekerja mengais demi makanan harian.

Adapula kita melihat seorang lelaki bekerja siang malam mencari duit, seolah tiada langsung masa untuk perkara lain. Dia ni tidak berkhidmat kah untuk perjuangan Islam? Dia ni bila nak bersedekah? Rupanya bila diselidik, dia lelaki yang sedang menyara ahli keluarga.

Banyak lagi contoh dihadapan mata kita. Insan yang pagi-petangnya hanya fikirkan duit. Tidak, bukannya mereka ingin hidup mewah, membeli kereta besar, memiliki banglo atau tiada cita-cita besar dalam hidup dsb. Tapi mereka hanya ingin supaya dapat memenuhi keperluan mereka yang menjadi tanggungjawabnya sahaja.

Justeru, adakah mereka ini kita ingin menyenaraikan sebagai orang yang mencintai dunia?

Mukmin Mengurusi Dunia

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال : أخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم بمنكبيّ فقال: 
 ( كن في الدنيا كأنك غريب ، أو عابر سبيل )  

 (رواه البخاري)

Daripada Ibnu Umar RA telah berkata: Bahawa Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda:


"Jadilah kamu didunia ini seperti orang asing atau orang yang sedang dalam perjalanan."
(Riwayat Bukhari)

Bagaimana orang mukmin menghadapi dunia? Walaupun kehidupan di dunia ini serba sukar dan mencabar, namun ianya bukan tempat yang boleh menyeksa jiwa dan nurani orang beriman. Batang tubuh mungkin sakit, namun jiwa tetap sihat. Urat-saraf dan otot mungkin penat, tapi hati tidak lelah. Sekali-sekala air mata mungkin mengalir, perasaan juga ada ketika marah, namun semuanya hanya seketika saja.

Apa yang pasti, menghadapi kehidupan dunia mesti dengan Ilmu di dada, Iman di jiwa dan Islam yang dilaksanakan dalam segenap ruang hidup. Dengannya kita memperoleh perasaan ahli syurga, iaitulah ketenangan.

Suatu hari, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ingin mengajar Maslamah Bin Abdul Malik daripada keluarga diraja yang terkenal dengan kehidupan mewah  dan hanya mahu memakan makanan lazat dan mahal sahaja.

Kemudian baginda menjemput Maslamah ke rumahnya, namun tidak menyediakan makanan sejak pagi hingga petang. Setelah Maslamah bersa tersangat lapar, barulah Umar menghidangkan makanan murah berupa bubur kacang yang kosong tanpa lauk-pauk. Kerana tersangat lapar, Maslamah segera memakannya dengan lahapnya.

Setelah Maslamah kenyang, lalu Umar menghidangkan makanan yang mewah kepadanya. Beliau berkata, "Makanlah."

Maslamah menjawab, "Saya sudah kenyang dan tidak mampu makan."

Lalu Umar Bin Abdul Aziz berkata, "Mengapa bermewah-mewah dengan makanan sehingga memasukkan kamu kedalam neraka, padahal makanan murah pun cukup bagimu.?"

Sejak daripada itu, Masalah mengubah tabiat buruknya.



Mukmin Mengurusi Harta
Diantara cara mengurusi harta dan kehendak kepada dunia adalah dengan melatih diri dengan sifat zuhud. Kendatipun tidaklah mudah, namun dengan kesungguhan dan latihan yang berterusan, lama-kelamaan boleh menjadi gaya hidup kita. Kerana ketengan hati bukanlah dengan memiliki harta yang banyak, tapi dengan bercukupan dengan harta yang sedia ada.

Zuhud adalah sifat para sahabat dan orang-orang yang Soleh. Ia tabiat generasi yang pernah mencorak kemenangan. Rahsia kemenangan mereka bukan kerana mempunyai sebuah ketumbukan tentera yang kuat, namun mereka mempunyai individu yang tidak mengharapkan dunia ketika tiada kekuasaan dan tidak mencintai dunia ketika berada dikemuncak takhta.

Zuhud bukannya tiada wang. Bukannya tiada kemahuan. Tapi zuhud adalah meletakkan wang pada tempatnya, menyekat kemahuan dan hidup sekadar keperluan.

Dia tidak membazir dan sentiasa mencuba untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan itu ketempat yang terbaik.

Namun dunia ini pandai menggoda. Dia datang kepada kita dengan pelbagai nama, rupa dan gaya. Adakalanya dia memakai nama adat. Adakala dia memakai gelaran taraf. Atau membisikkan kita kononnya supaya menjaga maruah dan air muka.

Akhirnya kita termakan dengan dunia. Kerana malukan kereta buruk, kita berhutang. Kerana risaukan masa depan, kita memutuskan sillaturrahim. Kerana menjaga air muka, kita terpaksa bersusah. Padahal sebahagiannya mungkin sehaluan dengan ugama, tapi sebahagian besar pula hanya perkara yang tiada asas ugama.

Zuhud makin payah untuk dibuat zaman kini.. Bahkan sifat Zuhud pula dipersoalkan kesesuaiannya pada zaman moden ini. Terpaksalah kita berputih mata melihat dengan kagum, hebatnya orang-orang tertentu mampu hidup dalam zuhud, sedang kita lemah dan tidak kuat iman.



Saidina Umar Al-Khattab pernah satu kali berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Tiba-tiba beliau melihat sepotong daging. 

Umar bertanya, "mengapa ada daging di sini?"  

Abdullah menjawab, "aku teringin memakan daging,  jadi aku membelinya."

Umar berkata, "apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan oleh seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu, lalu ia memakannya."


Wallahua'lam. 🌹

No comments: