Sunday, 14 August 2016

Saling Memerlukan



Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk dimuka bumi. Setiap satunya saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Saling bergantungan hidup. Saling mengharap. Memanglah Allah adalah hakikat tempat bergantung. Namun ia tidak menafikan wasilah-wasilah makhluk, supaya sesama makhluk ini saling berhubung dan berbudi. Dengannya terjalinlah kasih-sayang dalam masyarakat.


Kalau anak tidak perlukan ayah, tidaklah dia mengadu luka-sakitnya, kalau orang miskin tidak perlukan orang lain, tidaklah dia meminta sedekah, kalau si isteri tidak lagi memerlukan suami, maka itulah permulaan keretakan rumah tangga. 

Menjadi Harapan

Setiap orang, Allah telah ciptakannya dengan keistimewaan tersendiri. Ya, setiap orang ada peranannya. Guru dengan ilmunya, doktor dengan rawatannya, sahabat sebagai tempat berpaut tika susah-senang. 

Setiap orang pula, Allah ciptakannya dengan kelemahan. Meskipun dia dilihat kuat, namun lemahnya hanya sejadah dan air mata yang menjadi saksi. Luka-tangisnya tidak dapat diluah kerana tiada tempat untuknya. Bimbangnya dia bercerita kelemahannya lantaran orang pula akan hilang kepercayaan terhadap nya kembali.

Bila dia tetap bercerita kelemahannya, orang pula bercerita kelemahan mereka. Kenapa? 

Kerana orang melihat dia terlalu kuat, antibodi nya terlalu lasak untuk diserang penyakit juga. Justeru mereka tidak percaya jika dia juga ada kelemahan yang perlu dibantu. Mungkin kerana dia ketua. Dan ketua sepatutnya gagah! Dia keseorangan dalam ramainya sahabat. 

Maka mengenali, memahami dan membantu menjadi alat penting dalam kehidupan manusia. Ia rukun berhubungan sesama manusia.

Wasilah-wasilah

Firman Allah SWT:
"Dan berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan kesabaran"

(Surah Al-Asr: 3)

Kita mungkin orang harapan itu. Orang yang dipilih untuk membantu. Meskipun pemilihan bukan kerana benar-benar mengenali dan mungkin ia hanyalah semata-mata kerana petunjuk dalam mimpi atau lintasan hati, sambil berharap ianya adalah petunjuk Tuhannya. Namun terimalah, jadilah orang harapan itu. 

Jadilah wasilah yang menyambung kepada cita-cita besar. Cita-cita yang kerap-kali tersadung kerana kelemahan diri.

Berikan sedikit sentuhan yang mungkin biasa bagi kita, namun bagi orang lain boleh jadi ianya sentuhan ajaib yang memberi semangat luar biasa.

Wallahua'lam. 

No comments: