Friday, 30 December 2011

BerIman, Kemudian Suburkannya

Manusia, apabila dalam keadaan Imannya lemah, akalnya pusing, sedang syaitan dari sebelah belakang, dunia menghimpit dari kiri dan kanan, nafsu menggelojak dari jiwa yang berkecamuk, teman yang jahat memimpin kepada kejahatan, mudah sekali diturutinya.

Setelah dia kembali sedar, kembalilah dia bertaubat, dihalau bisikan syaitan, melihat akhirat terlebih baik dari dunia, membenteng diri dari nafsu serta menjauhi ajakan teman yang jahat apabila dia menyahut hidayah ALlah SWT yang datang dari arah depannya.

Menolak semuanya dengan menyahut seruan ALlah SWT.

Bagaimankah pula keadaan orang yang mengulangi dosa yang sama selepas dia bertaubat?

Pendapat daripada Golongan Suffiyyah berpendapat bahawa mengulangi dosa yang sama selepas bertaubat lebih besar dosanya sebanyak 70 kali ganda.

Golongan Muktazilah pula menyatakan bahawa ALlah SWT tidak akan menerima taubat orang yang mengulangi dosanya yang telah lalu.

Disana ada pendapat yang paling baik dan sederhana, iaitulah pendapat Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang berpendapat bahawa orang yang mengulangi dosa yang sama selepas bertaubat, tidaklah akan digandakan 70 kali ganda, bahkan ALlah SWT Yang Maha Penerima Taubat akan menerima taubat orang yang mengulangi dosa yang yang telah lalu selepas kembali bertaubat. Namun bersyarat. Orang yang bertaubat pada melakukan maksiat kali pertama itu, telah dia berazam sebenar-benarnya untuk tidak mengulangi salah yang itu.

Apakan daya manusia untuk melihat masa depan, samaada dia akan mengulangi salahnya ataupun tidak. Dalam keadaan inilah Ahli Sunnah berpendapat bahawa orang yang telah berazam tatkala taubatnya, sedang dia mengulanginya kembali tidak menjadi salahnya, wajiblah dia kembali bertaubat jua.

Ya ALlah Yang Maha Pengampun, ampunkanlah dosa kami.

Orang yang berIman, pasti dijagai ALlah

25:70

"Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal-soleh, maka kejahatan mereka diganti ALlah dengan kebajikan. Dan ALlah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."
(Surah AL-Furqan: 70)

Istana pasir yang dibina dibibir pantai, sekali-sekala ombak kecil datang sehingga rosaklah sedikit. Adapun kanak-kanak yang membinanya akan membetulkan kembali istana tersebut, dengan menambahkan beberapa instrumen supaya tidak lagi runtuh apabila datangnya ombak-ombak kecil yang sentiasa akan menjamah.

Iman adalah nikmat yang dikurniakan ALlah kepada Muslim. Mulia orang yang memilikinya. Sekali-sekala akan diuji dan teruji. Jika rosak, ia perlu dibina dan perlu dibaiki kembali, jika lemah, ia perlu dikuatkan.

Suburkanlah Iman supaya ia kuat dan tahan. Siramilah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu yang mengingatkan kepada ALlah SWT. Bajakan ia dengan Sunnah RasuluLlah SAW dan Akhlak yang mulia. Maka buah perjuangan akan berputik. Akarnya akan menjalar mengenggam jauh kedalam bumi, pucuknya meninggi ke awan, daunnya merimbun sehingga keImanan ini dapat dikongsi, dirasai dan disebarkan.

Dalam masa yang sama, maksiat perlu disapu, perlu disembur racun kepada parasit yang merosakkan pohon Iman, perlu dijaga daripada keadaan persekitaran yang kadang-kadang boleh melemahkan.

Suburkan Iman, jauhilah maksiat.

WaLlahua'lam