Friday, 5 August 2011

Takbir Ramadhan


Hari ini adalah hari yang keenam untuk Ramadhan pada tahun ini. Maka telah berlalulah Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas. Oleh itu, siapa yang tiada dapat berbuat yang terbaik pada Ramadhan yang lalu, maka tiadaklah dapat olehnya untuk mengulangi Ramadhan yang itu.. ramailah juga dalam kalangan mereka yang menyedari kerugian ini termasuk diri saya, memohon istighfar kepada ALlah SWT dan berazam untuk berRamadhan dengan lebih baik pada Ramadhan yang akan datang jika diberi izinan olehNya.


Kegemparan Ramadhan

Sekarang tibalah Ramadhan yang ini, maka kami berazam untuk melaluinya dengan lebih baik daripada yang telah lalu.  

Moga dipermudahkan ALlah hendaknya...

Ahlan ya Ramadhan..

Kedatangan Ramadhan benar-benar mengemparkan semesta alam.

Manakah tidaknya,

Apabila Syaitan yang diperingatkan dan ditakutkan(takut dalam erti kata bimbang) sebagai musuh utama lagi jelas dan nyata, yang telah 11bulan lamanya berkeliaran menyesat dan menghancurkan sekalian banyaknya manusia, telahpun diberkas dan digari.

Apabila pintu segala neraka yang menjadi sebuah igauan yang Maha Dahsyat itu ditutup buat kesekiankalinya dengan sekehendakNya, juga anasir-anasir yang membawa kepada neraka hampir saja semuanya terlupus sama. Tertutup rapat.

Apabila pintu-pintu syurga dibukakan seluas-luasnya sehingga melimpah-ruahkan segala yang tersimpan didalam kamarnya, disana rahmat ALlah melebar-panjang dari puncak alam hingga ke ceruk rantau belahan dunia.

Tatkala itulah dikatakan Ramadhan itu menggemparkan. Titah-perintah tentang segala ketetapan setiap kali Ramadhan yang menjadi kegemparan itu, seolah-olah mahu memberi tanggapan kepada seluruh alam semesta supaya memberi suatu perhatian yang khusus terhadap segala ketetapan-ketetapan Ramadhan. Lantas menyambutnya dengan sebuah pengiktirafan dan keimanan yang utuh kepada Sang Pencipta. Demikianlah gambaran suatu perkara, apabila ianya adalah kerja-kerja ALlah Azza Wa Jalla. Semestinya bukan dengan kelemahan manusiawi.

Kedahsyatan Ramadhan tentang penangkapan besar-besaran para gerombolan syaitan ini, hanyalah sebuah muqaddimah tentang janjiNya. Ya, janjiNya kepada penderhaka-penderhaka yang bukan sahaja jin dan syaitan, bahkan ianya terdiri juga dalam kalangan manusia yang ingkar..

Bulan Ramadhan adalah Bulan ALlah dan Para Solihin

Ramadhan adalah bulan ALlah. Dia telah membuat perisytiharan tersebut lama dulu, kerana itu ada kerja-kerja besar disana. Tapi mungkin saja ramai yang masih belum tahu.

Bulan Ramadhan adalah bulan Para Solihin. ALlah memberi pengiktirafan yang besar kepada amalan puasa pada bulan ini dengan memberi jaminan bahawa, Dia sendiri yang akan memberi ganjaran kepada mereka. Pahala amalan-amalan sunat pada bulan-bulan yang lain digandakan menjadi pahala amalan wajib, manakala yang wajib diganda menjadi 70 kali lipat.

Kata Imam Malik RadhiaLlahuanhu,

"Bahawa Ramadhan itu mempunyai 3 jenis bulan, iaitulah Bulan Puasa, Bulan Qiam juga Bulan Al-Qur'an."

Tapi ramai saja yang masih belum mahu mencarinya.

Bertambah Kurang

Sewaktu melalui Ramadhan serta beramal dengannya, disana perlulah ada pertambahan amalan dan pengurangan maksiat.

Amalan-amalan soleh perlu ditingkatkan daripada bulan-bulan yang lalu. Daripada tiada kepada mengadakan terus kepada menambahkan sehiggalah sempurnanya ibadah. Begitulah juga amalan maksiat perlu dijauhkan justeru dikurangkan sehinggalah kepada mentiadakan.

Tapi disana ada yang masih lagi ada yang tidak melakukannya.

Stesen television sepatutnya melakukan perubahan seiringan dengan Kemuliaan Ramadhan.Bukan saja menmbahkan rancangan-rancangan berunsur Ramadhan, bahkan perlu ada pengurangan rancangan yang melalaikan serta iklan-iklan yang merosakkan. Mulakannya dengan Ramadhan. Atau pesanan kepada penonton supaya tinggalkan saja television, kerana menontonnya adalah maksiat lantaran rancangan maksiatnya.

Demikianlah antara pihak-pihak yang ingin menutup keagungan Ramadhan.

Ramadhan Rahmat untuk Semua

Rumah terbuka Ramadhan sepanjang bulannya, tidaklah terhad kepada mana-mana individu, akan tetapi kepada semua yang sudi bertandang. Ruang-ruang kemaafan dan keampunan dihulurkan kepada sesiapa saja yang mahu menyambutnya.

Semalam usai sahaja bersolat sunat, abang disebelah saya bertanya;

"Demo smaye gapo tadi?"

Kemudian saya menjawab;
"Ambo smaye sunat sebelum isya'."


"Smaye sunat? Eh, masuk doh ko waktu isya'." Dia bertanya.

"Masuk doh.. Aik, bakponyo?" Saya bertanya pelik. Saya ingat mungkin saja dia bersembahyang tahiyyatul masjid.

"La..kawe tadi smaye isya'. Ingat ko siap doh smaye blako." Katanya.

Sambil saya meletakkan tangan pada pahanya, saya berkata;

"Ooh.tak dok gapo.. Lepah ni, smaye la balik. Kito smaye skali."

Sementara menanti iqmah, saya menghabiskan zikir.Kemudian abang yang disebelah saya tadi bertanya lagi;

"Mano tok ime ni, lambatnyo."

"Aish..tok tahu la pulok. ambo pun baru hari ni smaye sini." Saya menjawab.

"Gitu. Kawe baru hari ni nok mai smaye..hehe.. daripado duk rumoh lebih baik mai smaye, dok?" Katanya sambil tersengih.

Saya hanya mengangguk sambil tersenyum. Kemudian kami bersembahyang isya' berjemaah. Usai solat isya', para makmum berdiri untuk solat sunat ba'diah isya'.

Sambil itu, abang di sebelah saya bertanya tentang solat mereka dan bilangan rakaat.Saya menjawabnya serba ringkas, kemudian kami besolat sunat.

Abang tersebut menghormati saya walaupun saya tidak berpakai seperti biasa, kemudiaanya megujar saya dengan pertanyaan-pertanyaan tersebut. Saya menghormatinya dengan apa yang cuba dilakukannya.

Kesimpulan-kesimpulan Ramadhan

Selebihnya adalah bergantung kepada diri-sendiri. Jalan mana yang harus dipilih untuk melalui Ramadhan,

WaLlahua'lam

No comments: